PARIS: Polis Perancis menyiasat dakwaan seorang wanita Australia yang dikatakan menjadi mangsa rogol berkumpulan di bandar raya itu, mencetuskan kebimbangan menjelang temasya Sukan Olimpik, yang dijadualkan Jumaat ini.
Akhbar Perancis, Le Parisien melaporkan, mangsa berusia 25 tahun ditemui berlindung di sebuah kedai kebab di Pigalle pada Sabtu lalu, dalam keadaan pakaiannya terkoyak.
“Pemilik restoran meminta bantuan apabila melihat keadaan wanita itu. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bichat-Claude Bernard untuk pemeriksaan,” lapor akhbar tersebut.
Pejabat Pendakwa Raya Paris berkata, polis kini menyiasat dakwaan mangsa dirogol oleh lima lelaki.
“Insiden dikatakan berlaku pada 19 hingga 20 Julai lalu,” kata laporan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dalam ketakutan masuk ke kedai kebab untuk bersembunyi, sebelum meminta bantuan pemilik premis terbabit.
Polis Paris menempatkan ribuan anggota di seluruh bandar raya itu termasuk di lapangan terbang untuk mengawasi keselamatan orang ramai sepanjang Sukan Olimpik, minggu ini.
Bagi memudahkan pemantauan, beberapa zon keselamatan dibentuk di Paris terutamanya di lokasi tumpuan pelancong.- BBC










