NAIROBI: Polis Kenya mengesahkan menahan lebih 270 individu disyaki menyamar sebagai penunjuk perasaan yang mencetuskan keganasan semasa demontrasi antikerajaan, semalam.
Direktorat Siasatan Jenayah (DCI) berkata, sejumlah 204 suspek ditahan di ibu negara Nairobi dan 68 lagi di pelbagai kawasan lain seluruh negara.
“Pasukan keselamatan di seluruh negara mengenal pasti individu yang didapati terlibat dalam aktiviti jenayah dengan bertopengkan protes, dan mengambil tindakan menahan mereka.
“DCI mengerahkan penyiasat meneliti seluruh kawasan terjejas untuk mengesan suspek yang terakam dalam kamera CCTV dan rakaman telefon bimbit secara ganas merompak, mencuri dan memusnahkan harta benda serta perniagaan rakyat yang tidak bersalah,” katanya.
Demontrasi semalam awalnya bermula dalam suasana tenang sebelum bertukar ganas, sehingga memaksa pasukan polis melepaskan gas pemedih mata ke orang ramai di Nairobi, selain berlaku rompakan dan kerosakan harta benda di ibu negara serta bandar-bandar lain.
Sebelum ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Kenya (KNCHR) mengesahkan 39 maut dan 361 yang lain cedera dalam siri protes menentang cadangan pengenalan cukai baharu, dengan keganasan paling teruk berlaku di Nairobi minggu lalu.
Difahamkan, lebih banyak demontrasi akan diadakan pada esok dan Ahad ini.- AFP










