Pokok besar hempap dua buah rumah - Utusan Malaysia

Pokok besar hempap dua buah rumah

HAFSELIDA Mamat menunjukkan pokok tumbang yang mengenai rumahnya dalam kejadian di Taman Semarak, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebatang pokok besar setinggi hampir 12 meter tumbang lalu menghempap bumbung dua buah rumah dalam kejadian di Jalan TS  1/6 Taman Semarak, Nilai di sini, tengah hari tadi.

Pokok yang terletak di tepi jalan itu tumbang dan merosakkan bahagian belakang kedua-dua buah rumah terbabit bagaimanapun tidak melibatkan mangsa kerana ketika kejadian tiada penghuni berada di dalam kediaman.

Salah seorang pemilik rumah, Hafselida Mamat, 38 berkata, dia mengetahui kejadian itu berlaku pada jam 12.14 tengah hari selepas dimaklumkan oleh jirannya.

“Saya segera pulang ke rumah dari tempat kerja dan melihat beberapa batang dan ranting serta daun daripada pokok yang tumbang itu mengenai bahagian bumbung belakang rumah. 

“Bahagian rumah lain yang turut terjejas adalah tangki air atap genting serta bumbung. Dianggarkan kerugian dialami lebih kurang RM10,000,” katanya ketika ditemui. 

Beliau yang telah tinggal di rumah itu sejak sembilan tahun lalu berkata, kejadian pokok tumbang itu pernah berlaku dua bulan lepas namun tidak menjejaskan rumah penduduk.

“Nasib baik kami sekeluarga tiada di rumah pada waktu kejadian tetapi kini bimbang juga dengan keadaan dalam rumah dikhuatiri ada tempat-tempat lain yang turut mengalami kebocoran,”katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi pemilik rumah, Zamri Ibrahim, 45 berkata, dia terus bergegas pulang ke rumah bagi melihat keadaan rumahnya selepas mengetahui tentang kejadian itu.

“Akibat kejadian ini, bahagian belakang rumah saya terutamanya bilik mandi terjejas. Saya belum dapat anggarkan jumlah kerugian yang dialami dan perlu melihat semula selepas kerja-kerja pembersihan pokok tumbang ini dilakukan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN