BAGAN SERAI: Pesawah Daerah Kerian di sini tertekan berikutan bekalan air tidak dapat disalirkan ke sawah apabila paras Empangan Tasik Bukit Merah menyusut disebabkan musim panas.
Pesawah di Parit Simpang Empat Alor Pongsu, Norhafizah Mohamad, 40, berkata, tanaman padi yang baru berusia lapan hari mungkin musnah jika air tidak dialirkan dalam petak sawah.
Menurutnya, bekalan pengairan sudah dihentikan sejak 28 Jun dan dia hanya mendapat maklumat tersebut selepas tiga hari menanam padi, menyebabkan dia tidak sempat untuk membuat empangan air di parit di sawahnya.
“Air di parit ladang di kawasan Kampung Parit Simpang Empat menyusut hingga menampakkan dasarnya manakala palung paip kini tergantung menyebabkan air tidak dapat mengalir ke dalam petak sawah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, berikutan itu dia berharap agar ada bantuan pihak kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut.
Menurutnya, pesawah mengeluarkan modal yang banyak untuk menanam padi musim baharu dan sekiranya keadaan ini berlarutan, kemungkinan besar tanaman padi akan rosak.
Sementara itu, Ketua Unit Peladang Parit Haji Ali di sini, Muslan Napiah, 47, berkata, kebanyakan pesawah di kawasannya tertekan berikutan air tidak dapat dialirkan ke sawah.
Katanya, jika keadaan itu berlarutan, pesawah akan mengalami kerugian.
“Kami terpaksa mengeluarkan modal dua kali ganda kerana masalah pengairan ini. Kos bertambah untuk racun apabila pesawah terpaksa menyembur racun dua kali bagi memastikan rumput sambau tidak tumbuh dalam petak sawah selain serangan tikus,” katanya.
Menurut Muslan, keluasan sawah di Kampung Parit Haji Ali lebih 200 ekar dan sekiranya krisis air berterusan, ini akan memberi impak yang besar kepada semua pesawah.
Katanya, keadaan itu bukan hanya menyebabkan pesawah terpaksa mengeluarkan modal yang lebih tetapi juga hasil pengeluaran padi juga akan terjejas.
“Agensi yang berkaitan perlu turun padang melihat sendiri keadaan sawah di seluruh kawasan Bagan Serai bagi mengambil langkah yang bersesuaian bagi membantu kami,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya terpaksa menghentikan penyaluran bekalan air pengairan ekoran bacaan paras air di tasik itu melepasi bacaan Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu di bawah 6.09 meter (20 kaki).
Bekalan pengairan dihentikan sepenuhnya kepada semua kompatmen sawah padi mulai 28 Jun yang lalu. – UTUSAN










