KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum memuktamadkan representasi ketiga Datin Seri Rosmah Mansor bagi mengugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7.09 juta dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, hingga kini pihaknya belum menerima sebarang jawapan sama ada representasi itu ditolak atau diterima oleh pihak pendakwaan.
Rosmah, 72, menghantar representasi ketiga pada 12 Disember 2023 selepas representasi pertama dan kedua yang dikemukakan pada 3 Mei dan 18 Ogos 2023 masih belum diputuskan oleh AGC.
Pada prosiding 1 Mac lalu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan, pihaknya perlu meneliti beberapa butiran dan fakta baharu yang dibangkitkan oleh Rosmah serta memanggil beberapa saksi membantu siasatan sebelum memutuskan representasi tersebut.
Sehubungan itu, Amer Hamzah memaklumkan, pihak pembelaan tidak berhasrat untuk menangguhkan lagi permohonan bagi menggugurkan pertuduhan terhadap Rosmah dan bersedia untuk meneruskan penghujahan.
Dalam hujahannya, Amer Hamzah berkata, 12 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Rosmah tidak berasas kerana tidak menyatakan bentuk aktiviti haram atau kesalahan predikat daripada mana hasil dikatakan telah diperoleh.
Ujar beliau, pertuduhan itu juga didapati bertindan di antara satu sama lain menyebabkan Rosmah didakwa dengan pertuduhan sama berkali-kali walhal faktanya adalah sama.
“Daripada keseluruhan 17 pertuduhan yang dihadapinya, Rosmah didakwa secara berulang, pendakwaan cipta sebanyak mungkin pertuduhan mengunakan fakta kes yang sama dan ini tidak adil kepada Rosmah,” ujar Amer Hamzah.
Hujah beliau lagi, pertuduhan gagal mengisytiharkan harta tidak wajar dikaitkan dengan kesalahan pengubahan wang haram kerana ia tidak tertakluk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Ujarnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada berhak untuk mengemukakan pertuduhan terhadap Rosmah kerana agensi itu tiada kuasa menjalankan siasatan berkaitan kes gagal mengisytiharkan cukai.
Hakim K. Muniandy kemudian menetapkan penghujahan disambung pada 23 Ogos ini.
Rosmah dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018. – UTUSAN










