Perincian gaji baharu penjawat awam diumum bulan depan

Perincian gaji baharu penjawat awam diumum bulan depan

PENJAWAT awam dalam kumpulan pelaksana dijangka menikmati kenaikan gaji sehingga 47 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jumlah peratus kenaikan gaji penjawat awam hanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan hadapan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, beliau sendiri tidak mengetahui jumlah peratus kenaikan tersebut, namun memaklumkan ia pasti akan menjadi berita baik buat penjawat awam.

“Urusan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini bukan urusan saya sahaja tetapi pasukan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri dan pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Insya-Allah, kita akan dapat berita baik, sabarlah. Biarlah Perdana Menteri yang umumkan berapa peratus sebenar­nya, tetapi pada perjumpaan Hari Pekerja, Perdana Menteri sudah sebut 15 peratus.

“Saya tidak tahu, mungkin kurang atau lebih, saya tidak tahu, kita tunggu. Sebab itu saya jemput penjawat awam di Negeri Sembilan hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos nanti untuk sama-sama kita dengar daripada Perdana Menteri berkait de­ngan penyelarasan gaji penjawat awam yang sekian lama tidak diambil peduli,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri program Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Dengan Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini.

Sebelum ini dilaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 serentak dengan pelancaran SSPA yang dijadualkan bulan depan.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan untuk penjawat awam bekerja dari rumah mengikut situasi tertentu termasuk bagi pekerja wanita yang sarat hamil, Wan Ahmad Dahlan berkata, perkara itu bergantung kepada kebenaran dan penilaian oleh ketua-ketua jabatan.

“JPA memang telah keluarkan garis panduan berkenaan bekerja dari rumah pada 2020 dan telah dibuat penambahbaikkan pada 2022, telah ada pekeliling mengenainya, cuma mungkin ia tidak disedari ke­rana perlu dibuat permohonan kepada ketua jabatan.

“Saya menyokong perkara ini tetapi kebenaran hendaklah dinilai betul-betul supaya tidak berlaku perkara-perkara tidak sepatutnya apabila bekerja dari rumah. Bagi mereka yang memerlukan, mintalah kebenaran daripadai ketua jabatan dan ketua jabatan perlu membuat penilaian sehabis baik untuk memberi kebenaran.

“Saya juga bersetuju kalau ibu-ibu mengandung yang mungkin apabila sudah sampai due date (tarikh habis tempoh), mungkin keperluan untuk be­kerja dari rumah itu ada, ataupun penjawat awam yang menghadapi masalah seperti suami bekerja di luar kawasan dan mereka perlu menguruskan anak, ia boleh dimohon kepada ketua jabatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN