SEREMBAN: Sebuah lokasi di Taman Bandar Senawang di sini yang menjadi penempatan haram warga asing yang turut menempatkan warga asing tanpa pekerjaan digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan, awal pagi tadi.
Penempatan yang agak tersorok dan berada berhampiran kawasan perumahan dan hutan itu difahamkan telah dihuni sekurang-kurangnya sejak lapan tahun lalu malah pernah diserbu pada tahun 2009.
Bagaimanapun kini ia semakin berkembang malah mempunyai bekalan elektrik serta air yang diperoleh secara haram.
Pemeriksaan di lokasi serbuan juga menemukan longgokan minyak masak berpeket di salah sebuah bilik selain terdapat banyak binaan reban ayam dan itik.
Menurut Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, penempatan seluas 2,705 meter persegi itu dahulunya merupakan kawasan tempat tinggal bagi pekerja warga asing sektor pembinaan.
Bagaimanapun jelasnya, penempatan tutetap dihuni oleh warga asing walaupun projek pembinaan telah selesai.
“Hasil percakapan, mereka tidak mengaku (tinggal secara haram) dan menyatakan penginapan disediakan majikan. Bagaimanapun kami akan siasat status tanah ini dan sekiranya terbukti penempatan haram, kami akan minta pihak berwajib untuk merobohkan penempatan ini.
“Hasil risikan juga mendapati terdapat warga asing yang datang tanpa kerja, tinggal di sini untuk beberapa hari dan dikenakan bayaran sebanyak RM 50 semalam oleh ketua penempatan di sini ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan serbuan dan pemeriksaan di kawasan berkenaan awal pagi ini.
Ujar Kennith Tan lagi, serbuan melibatkan 180 orang anggota pelbagai agensi itu membawa kepada pemeriksaan ke atas seramai 69 warga asing.
“Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana tidak mempunyai sebarang pas dan dokumen perjalanan yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c ) Akta Imigresen 1959/63 serta telah tinggal lebih masa di negara ini mengikut Seksyen 15(1)(c ) akta yang sama,” katanya.

Menurutnya, kesemua tangkapan iaitu terdiri daripada tujuh orang lelaki warganegara Indonesia dan empat lelaki Bangladesh berusia antara 24 hingga 60 tahun seterusnya akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng disini untuk siasatan dan tindakan susulan.
Dalam pada itu, beliau menyatakan pihak JIM juga akan melakukan semakan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap status beberapa buah kereta serta motosikal yang ditemui di lokasi serbuan dibuat terutamanya kenderaan membabitkan milikan 11 PATI yang ditahan.
“Kami mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau berdepan tindakan undang-undang. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-UTUSAN.










