Pemilik rumah kedai, rumah setinggan terlibat LTU bakal terima bayaran 'ex gratia’

Pemilik rumah kedai, rumah setinggan terlibat LTU bakal terima bayaran ‘ex gratia’

AHMAD Maslan (kanan) memeriksa lokasi dan gambar kemajuan Jajaran Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Gua Musang di Pejabat Tapak JKR LTU 2C di Bandar Utama di Gua Musang, Kelantan hari ini.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pemilik kepada 177 buah rumah kedai dan rumah setinggan terlibat dengan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Gua Musang-Kuala Krai yang sedang berlangsung ketika ini akan menerima pembayaran ‘ex gratia’ (pampasan) secepat mungkin.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, selepas membuat pertimbangan atas dasar kemanusiaan, pihaknya bersetuju untuk membantu penduduk terlibat dengan memberi sejumlah bayaran.

Menurutnya, penduduk yang terlibat merupakan mereka yang tinggal secara setinggan tanpa memiliki geran tanah di sepanjang laluan projek dari Gua Musang ke Kuala Krai.

“Saya sudah membawa perkara ini dalam Mesyuarat Pasca Kabinet yang dipengerusikan oleh Menteri Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam.

“Pampasan itu dibayar dengan formula tertentu selepas rumah mereka diroboh dan melibatkan perpindahan rumah yang bakal mereka dirikan,” katanya selepas mendengar taklimat Pembinaan Projek LTU Kelantan di Pejabat Tapak Jabatan Kerja Raya (JKR) LTU 2C di Bandar Utama di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, pihaknya akan menyelidik dan meneliti pemberian pampasan itu secepat mungkin bagi membantu pemilik rumah dan rumah kedai yang terlibat.

Katanya, pampasan itu akan melibatkan kos jutaan ringgit.

“Pihak kementerian akan menulis laporan kepada Kementerian Kewangan dengan memberi formula dan pampasan yang perlu diberikan meskipun atas daripada segi dasar perundangan tidak perlu kerana mereka duduki tanah tanpa geran.

“Kita sedang membuat kiraan dan membuat formula yang tertentu, tetapi bayaran itu tidak menepati jumlah yang mereka pohon,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, dua projek iaitu Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) bagi Pakej 2B sejauh 6.2 kilometer (KM) dari Ketereh ke Kok Lanas sudah ditamatkan dan akan ditender semula.

Katanya, bagi projek Seksyen 3D (Bulatan Gua Musang ke Mentara) pihak kontraktor masih lagi diberi peluang untuk melaksanakan projek terbabit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×