Pemilihan Bersatu dijangka tiada pertembungan - Utusan Malaysia

Pemilihan Bersatu dijangka tiada pertembungan

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijangka berlangsung pada waktu terdekat bakal menyaksikan tiada pertembungan melibatkan jawatan tertinggi.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah mengadakan rundingan dengan hampir semua pemimpin parti untuk mengelakkan pertembungan bagi mengelakkan perpecahan.

Bagaimanapun katanya, perincian lanjut mengenai hasil rundingan bakal dimaklumkan dalam satu tempoh sebelum hari pencalonan pemilihan parti.

Katanya, langkah itu bukan bermakna Bersatu mahu menolak demokrasi pemilihan parti sebaliknya demi survival parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan datang.

“Dalam satu retreat pemimpin Bersatu baru-baru ini, antara usul adalah mereka saya minta bertemu dengan pemimpin lain untuk elak pertembungan dan perpecahan.

“Akhirnya mereka minta saya berunding dan saya telah bertemu hampir semua.

“Saya sudah dapat ilham supaya apa-apa pun jawatan tertinggi parti mungkin dapat elak pertembungan,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal di Selayang di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, beliau berharap soal sama juga dapat dilakukan melibatkan pemilihan peringkat bahagian seluruh negara.

Hal ini kerana katanya, beliau mahu Bersatu menjadi lebih kuat selepas pemilihan parti yang akan menentukan kalah menang parti dalam PRU-16.

“Ini bukan perkara main-main. Ini tentang survival parti kita. Ini tentang survival bangsa kita, tanah air kita dan agama kita.

“Saya jangkakan PRU-16 akan menjadi pilihan raya umum yang amat sengit. Parti lawan yang menguasai kerajaan akan menggunakan apa sahaja cara untuk menekan kita dengan rakus dan mengubah tiang gol dengan penuh tipu daya.

“Ini termasuklah menggunakan proses persempadanan semula kawasan pilihanraya yang akan dilaksanakan sebelum PRU-16 untuk memberikan kelebihan kepada parti mereka,” katanya.

Kata Muhyiddin, rakyat tidak akan percaya kepada Bersatu jika ada ahli sendiri berpecah-belah khususnya selepas pemilihan parti.

“Pemilihan parti ini mesti berjalan dalam semangat muhibbah, jangan berpecah-belah, jangan bermusuh. Yang menang mesti pegang amanah. Yang kalah mesti terus ada peranan dalam parti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN