‘Pasar bergerak’ terus bertahan

‘Pasar bergerak’ terus bertahan

CHE Nor Hazawani Che Mood menggunakan motosikal roda tiga menjual pelbagai jenis keperluan memasak untuk penduduk dua buah kampung dekat Kuantan, Pahang sejak 10 tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: PIN, pin, pin! Bunyi hon daripada motosikal roda tiga itu menjadi ‘irama’ rutin setiap pagi buat penduduk Kampung Seri Damai di sini sejak 10 tahun lalu.

Kehadirannya bersama barangan keperluan asas untuk memasak seperti ikan, sayur-sayuran dan rempa-ratus begitu dinanti-nantikan penduduk.

Dengan adanya ‘pasar bergerak’ itu, mereka tidak lagi perlu ke kedai runcit dan pasar raya kerana kesemuanya dibawa terus ke depan pintu pagar rumah.

Ibu tunggal, Che Nor Hazawani Che Mood, 43, gigih membanting tulang mencari rezeki dengan menunggang motosikal roda tiga menjual ikan, sayur dan bekalan keperluan lain serta kuih-muih untuk membesarkan tiga cahaya matanya.

Dia berkata, perniagaan itu mula diusahakannya sejak 10 tahun lalu mengelilingi dua kampung berdekatan rumahnya iaitu Kampung Seri Damai dan Kampung Jaya Gading.

Walaupun kuantiti jualannya tidak banyak tetapi dia berjaya membekalkan hampir semua keperluan asas untuk memasak.

“Pada mulanya memang sukar jual bahan basah memandangkan banyak kedai runcit dan pasar raya berdekatan tapi memandangkan ini ikhtiar mencari rezeki untuk anak-anak, saya teruskan juga dan pelanggan mula bertambah hari demi hari.

“Bukan sahaja sebagai punca pendapatan malah memudahkan penduduk lebih-lebih lagi suri rumah yang tidak dapat keluar mendapatkan barangan keperluan.

“Ada juga yang sudah tidak berupaya (sakit), jadi saya hantar sampai depan pintu rumah mereka,” katanya ketika ditemui di sini.

Bercerita lanjut, Che Nor Hazawani berkata, rutin hariannya bermula seawal pukul 2 pagi ke pasar borong dan jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat sini untuk mendapatkan bekalan seperti sayur, ikan, sotong, udang dan ayam.

Namun begitu, dia mula menjaja sekitar pukul 7.30 pagi selepas menguruskan dua daripada tiga anaknya ke sekolah terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, hampir setiap hari motosikal yang saya gunakan ini mampu membawa hasil jualan seberat hampir 100 kilogram.

“Dalam motosikal roda tiga ini saya tempatkan empat tong polisterin. Dua tong berisi ikan, ada empat jenis masing-masing seberat empat kilogram. Antaranya kerisi, kembung, selar, pelaling manakala satu tong lagi berisi sotong dan udang serta terdapat juga tong berisi ayam yang sudah siap dipotong.

“Saya juga bawa sayur-sayuran seperti bayam, kangkung, bendi, kobis, sawi dan tauge, malahan bawang, kunyit, halia, bunga kantan, santan dan pelbagai lagi jenis rempah-ratus ada. Pendek kata, serba-serbi keperluan untuk memasak saya bawa,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Dalam pada itu, katanya, hampir setiap hari, kira-kira RM1,000 modal dikeluarkan untuk membeli semua bahan mentah diperlukan.

“Adakalanya saya terpaksa mengeluarkan modal yang lebih kerana ada jenis barangan disukai pelanggan tetapi sekiranya terdapat lebihan jualan seperti ikan, saya jadikan ikan masin. Saya bungkus dan jual dalam harga yang jauh lebih murah.

“Walaupun penat bekerja sejak awal pagi dengan menguruskan anak-anak dan hal rumah tangga, namun saya tidak pernah patah semangat untuk meneruskan perniagaan ini selagi ada daya dan kudrat. Saya sentiasa berdoa agar terus diberikan kesihatan yang baik. Ini semua dilakukan untuk melengkapi kehidupan anak-anak.

“Setakat ini saya tidak ada penyakit kronik, cuma keadaan fizikal yang mana berat badan sedikit sebanyak membataskan pergerakan,” ujarnya.

GUNA WHATSAPP SEBAR SENARAI IKAN

Sementara itu, Rahili Mohd. Lazin, 63, atau lebih mesra dengan panggilan Pok Li yang menjual ikan dan sayur menggunakan van menyifatkan perniagaan seumpama itu tidak seharusnya dipandang remeh kerana ramai yang menanti kehadiran peniaga sepertinya saban hari.

Rahili berkata, pelbagai cara dan kaedah dilakukannya untuk kekal bertahan selama 25 tahun sebagai penjual ikan dan sayur dari rumah ke rumah serta taman ke taman, antaranya menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Walaupun saya sudah memulakan perniagaan ini sejak 25 tahun lalu, ternyata banyak perbezaannya. Kalau dulu kita tidak banyak persaingan, memang mudah tetapi kini kita sendiri kena belajar berniaga ikut peredaran semasa.

“Kalau dulu kita redah sahaja pusing kampung, taman perumahan sambil bunyikan hon, maka ramai suri rumah keluar membeli. Ada hari jualan memang licin tetapi sekarang dunia sudah moden, ramai pula sudah bekerja, jadi sebelum mula berniaga, saya hantar senarai jualan berserta harga mengikut harga di pasar ke semua kumpulan WhatsApp.

“Bila saya sudah blast (sebar) senarai barang jualan, dengan cara ini mereka sudah boleh bajet dan buat pesanan. Kerja saya pun jadi lebih mudah kerana boleh terus bungkus dan bila sampai di hadapan rumah mereka, saya serahkan sama ada secara terus atau gantung di pintu pagar,” katanya yang mempunyai dua kumpulan WhatsApp, kedua-duanya berjumlah kira-kira 150 orang.

Ditanya permulaanya berkecimpung dalam bidang ini, Rahili berkata, perniagaan dengan kaedah sebegini merupakan pilihannya sendiri setelah membuat keputusan untuk tidak mahu lagi menjadi kontraktor.

Dalam keadaan gawat dan ekonomi tidak menentu sekitar 1998 dan 1999, dia mengambil langkah drastik itu dengan membeli sebuah van murah bersesuaian untuk menjual ikan dan sayur.

“Memang kekok memandangkan sebelum ini saya turun naik pejabat kerajaan untuk mendapatkan projek, secara tiba-tiba pakai baju biasa serta topi, kemudian pandu van jual ikan dan sayur.

“Alhamdulillah, hasilnya saya sudah mula memperoleh sumber kewangan lebih kukuh berbanding sebelumnya dan dapat menanggung tiga anak sehingga mereka berjaya melanjutkan pengajian ke universiti sampai tamat belajar.

“Kaedah ini bukanlah macam kedai runcit, jadi untung pun kecil tetapi setiap perniagaan tetap ada untungnya. Ada masa hanya untung RM2 setiap pembelian. Saya tetap bersyukur, nak kaya memang tidak tetapi bolehlah tanggung keluarga,” katanya yang berjaya memperoleh keuntungan bersih antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.

Tambahnya, setiap perniagaan pasti ada cabaran termasuk dirinya yang sesekali berdepan masalah kerosakan van.

Jika berdepan masalah sedemikian, dia akan memaklumkan kepada pembeli dalam kumpulan WhatsApp, namun tetap berusaha membaikinya secepat mungkin agar dapat meneruskan jualan bermula sekitar pukul 7.30 pagi setiap hari.

“Biasalah setiap kerja pasti ada cabarannya. Pernah berlaku selepas kita habis beli barang beribu-ribu ringgit di pasar, van pula buat hal, rosak tiba-tiba. Jadi, saya tetap akan berusaha menepati masa untuk jual. Adakalanya terpaksa cari kenderaan lain untuk sementara.

“Ada ketika seronok untuk meneruskan perniagaan kerana ada pelanggan memang berharap pada saya. Kalau cuti lebih tiga hari, mereka merungut,” katanya yang berniaga di gugusan perumahan Sungai Isap dan Permatang Badak dekat sini.

RUTIN SETIAP HARI

Seorang penduduk, Zawawi Awang, 67, berkata, dia setia menunggu peniaga pasar bergerak setiap hari kerana lebih menjimatkan perbelanjaan hariannya daripada pergi ke bandar yang jauhnya kira-kira 10 kilometer atau kedai berhampiran terletak kira-kira dua kilometer.

“Saya suka cara begini. Tunggu setiap pagi pun tidak apa, terasa seperti pergi pasar juga memandangkan bermacam-macam jenis ikan, sayur dan adakalanya kuih pun dijual.

“Beli di sini pun sama juga harganya seperti di pasar, tidak jauh beza dan yang penting, bahan mentah dibawa semuanya segar. Membeli di hadapan rumah lebih seronok bersama jiran-jiran tetangga sambil bertanya khabar,” katanya yang sudah lebih lima tahun menjadi pelanggan kepada Rahili.

Seorang lagi pembeli, Kamilah Jamil, 70, berkata, konsep pasar bergerak lebih mudah dan senang khususnya dalam kalangan suri rumah dan warga emas.

“Bagi saya yang tidak mempunyai kenderaan, membeli ikan dan sayur dibawa dengan lori, van atau motosikal yang lalu depan rumah lebih mudah. Kalau tidak, saya terpaksa minta tolong jiran untuk membelinya.

“Hampir setiap hari saya menunggu, seronok juga dapat membeli sendiri keperluan memasak dan harga pun masih mampu.

“Saya harap sangat mereka yang menjual cara begini untuk terus kekal walaupun ada banyak cabaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN