Selepas melalui fasa getir dalam rumah tangga dan kini meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal, pelakon, Linda Hashim memilih untuk mengisi perjalanan baharunya dengan sesuatu yang lebih dekat dengan jiwa dan rohaninya.
Menurut pemilik nama Norhazlinda Hashim, dia kini sedang mempersiapkan diri untuk menggalas tanggungjawab sebagai mutawwifah, di samping mahu dirinya dikelilingi insan-insan yang positif.
“Saya baru lagi menyertai kursus menjadi mutawwifah dan masih dalam proses belajar. Tahun ini baru saya mula. Sebelum mengambil kursus, saya banyak bersama rakan-rakan mutawwifah untuk belajar daripada mereka.
“Apabila mereka rasa saya sudah memahami perkara asas, barulah mereka kata saya sudah boleh mengambil kursus. Tetapi selepas mengikuti kursus pun bukan bermaksud saya sudah tahu semuanya.
“Sejujurnya, tujuan saya mahu menjadi mutawwifah kerana mahu kerap pergi ke Tanah Suci. Perkara itu juga saya lakukan kerana saya suka,” katanya kepada Pancaindera.
Masih setahun jagung, Linda mengibaratkan kedudukannya ketika ini seperti seorang pelatih yang perlu terus menimba pengalaman sebelum benar-benar bersedia memikul tanggungjawab lebih besar.
“Walaupun kita nampak ini sebagai bidang keagamaan yang baik, sebenarnya banyak dugaan. Lagi-lagi apabila membawa jemaah ke Tanah Suci, kita perlu lebih berhati-hati dalam pelbagai aspek. Jadi, kita kena banyak bersabar.
“Saya menjadi mutawwifah bukan sebab saya sudah tahu semuanya. Saya masuk bidang ini untuk belajar. Saya masih baru dan rasa belum layak pun sebenarnya. Kalau hendak diibaratkan, saya masih dalam fasa menjalani latihan praktikal,” katanya.

Menurut Linda, ilmu untuk menjadi seorang mutawwifah bukan sesuatu yang boleh dikuasai hanya dengan mengikuti kursus, sebaliknya memerlukan pengalaman sebenar mengurus dan mendampingi jemaah.
“Sebenarnya pada saya, walaupun sudah mengambil kursus, ilmu itu masih belum cukup. Bidang ini memang memerlukan praktikal kerana kalau tidak, kita tidak akan tahu.
“Pada ketika ini, saya banyak menguruskan bahagian ketibaan dan pelepasan jemaah, memang itu bahagian yang saya tahu. Tetapi perkara lain seperti menyampaikan ilmu fikah dan sirah, saya masih berada di bawah bimbingan ustaz mutawwif di sana,” jelasnya.
Malah, Linda tidak mahu dirinya dianggap sebagai ustazah hanya kerana memilih untuk mendalami bidang tersebut dan menegaskan perjalanan pembelajarannya masih panjang.
“Kadang-kadang orang panggil saya ustazah, tetapi saya bukan ustazah. Mungkin sebab jemaah biasa memanggil mutawwif atau mutawwifah sebagai ustaz dan ustazah.
“Saya belum sampai ke tahap untuk membimbing semuanya seorang diri. Apabila ustaz bercakap kepada jemaah, saya akan dengar sekali. Soalan daripada jemaah dan jawapan ustaz pun saya dengar kerana dari situlah saya belajar,” jelasnya.
Diangkat sebagai Ikon Ibu Tunggal, pelakon berusia 42 tahun itu memberitahu antara perancangan yang paling dekat di hatinya adalah membawa kumpulan ibu tunggal menunaikan umrah pada tahun hadapan, khususnya dalam kalangan jemaah wanita.
“Kami ada perancangan untuk membuat rombongan atau pakej umrah untuk ibu tunggal tahun depan, khusus untuk jemaah perempuan sahaja. Insya-Allah, ia masih dalam perancangan. Saya mahu ajak ibu-ibu tunggal ‘healing’ sambil beribadah di sana.
“Kita tahu menjadi ibu tunggal bukan mudah. Mereka perlu ada kekuatan untuk menjaga dan membesarkan anak. Jadi, bagi saya, tempat yang paling baik adalah pergi ke sana beribadah bersama kumpulan yang melalui keadaan hampir sama.
“Jangan rasa kita seorang sahaja ibu tunggal yang susah. Sebenarnya ramai lagi yang melalui kesukaran dan memerlukan masa untuk diri sendiri. Ibu tunggal ini, dialah emak dan dialah bapa. Semuanya daripada A sampai Z dia uruskan,” tambahnya.
Bagaimanapun, Linda berharap percaturan baharunya selepas perceraian itu dipermudahkan dan menjadi satu perjalanan yang dapat diteruskannya untuk tahun-tahun mendatang.
“Selepas saya bercerai, ini adalah sesuatu yang baharu dalam hidup saya. Saya cuma mohon doa daripada semua orang supaya perjalanan baharu ini dipermudahkan dan urusan saya untuk membawa jemaah ke sana berjalan lancar,” ujarnya.










