Iraq siasat serangan dron ke atas Arab Saudi, tutup tiga lintasan ke Iran

Iraq siasat serangan dron ke atas Arab Saudi, tutup tiga lintasan ke Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD: Baghdad menutup beberapa lintasan sempadannya dengan Iran ketika menyiasat serangan dron terhadap saluran paip minyak East-West milik Arab Saudi yang disahkan dilancarkan dari wilayah Iraq.

Melaporkan dari Baghdad, wartawan Al Jazeera, Jack Hewson menyenaraikan lintasan yang ditutup oleh kerajaan Iran melibatkan Shalamcheh di wilayah Basra, al-Shib di wilayah Maysan dan Mandali di wilayah Diyala.

Beliau berkata, Iraq mengarahkan penutupan lintasan berkenaan kerana bimbang dalang serangan mungkin melarikan diri ke Iran.

Hewson turut melaporkan kawasan sempadan al-Tayyib di wilayah Maysan, tenggara Iraq ditutup selepas pelancar dron ditemui di situ, manakala operasi mencari sedang dijalankan.

Sementara itu, menurut kenyataan jurucakap Panglima Angkatan Tentera Iraq, Sabah al-Numan pada Sabtu, Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi meluluskan permintaan Iran untuk menjalankan siasatan bersama berhubung penemuan platform pelancaran dron berhampiran sempadan.

Kenyataan itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai lokasi dron berkenaan ditemui atau jumlahnya.

Sebelum ini pejabat perdana menteri berkata, serangan itu dilancarkan dari wilayah Maysan dan Ali bertindak memecat komander tentera yang bertanggungjawab di wilayah berkenaan.

Serangan terhadap saluran paip minyak East-West itu berlaku pada Khamis, dengan Arab Saudi mengumumkan pada hari berikutnya operasi saluran berkenaan digantung sementara sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada Jumaat, Riyadh berkata, dron berkenaan dilancarkan dari Iraq yang mempunyai pengaruh besar Iran, termasuk terhadap kumpulan bersenjata.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Riyadh sebelum ini menuduh kumpulan yang mempunyai hubungan dengan Iran di Iraq menyasarkan infrastruktur minyaknya.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang kini berada di Ireland dalam lawatan tidak rasmi, berkata, Teheran berkemungkinan berada di sebalik serangan terhadap saluran paip itu.

Trump bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×