TUMPAT: Sepasang suami isteri ditahan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan selepas cuba menyeludup 75 liter petrol menggunakan Perodua Kenari yang telah diubah suai tangki dalam serbuan di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu di sini semalam.
Serbuan pukul 11 pagi itu dilakukan anggota KPDN Kelantan selepas mengesan kereta tersebut yang berada dalam keadaan mencurigakan semasa sedang mengisi bahan bakar itu di Wakaf Bharu.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, susulan pasukan penguat kuasa telah berjaya mengesan kereta tersebut yang sedang parkir di hadapan sebuah rumah di Kampung Dusun Langgar.
Menurutnya, semasa serbuan dilakukan anggota bertugas mendapati pasangan suami isteri itu berada di dalam kereta tersebut.
“Semasa ditahan, pasangan itu gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit serta surat kuasa berkait pemilikan minyak petrol yang dibawa bersama tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu membawa kepada penemuan
tangki minyak yang telah diubahsuai dan mengandungi bahan bakar melebihi kuantiti asal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman memberitahu, suspek mengaku memiliki sebanyak 75 liter minyak petrol yang diisi ke dalam tangki yang telah diubahsuai untuk tujuan penyelewengan ke negara jiran melalui pengkalan haram.
Katanya, pasangan suami isteri itu kemudian di tahan untuk tindakan lanjut bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Nilai keseluruhan rampasan, termasuk kenderaan dan minyak petrol dianggarkan berjumlah RM5,175.
“Pada masa sama, KPDN Kelantan mempergiatkan rondaan di stesen-stesen minyak sekitar 50 kilometer dari sempadan negara,” ujarnya.-UTUSAN










