KUALA LUMPUR: Pas tidak pernah mengeluarkan sebarang mandat kepada mana-mana pemimpin partinya untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin mana-mana parti di bawah Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu rundingan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah sebut dalam mesyuarat pimpinan Pas.
“Saya tiada maklumat dan Pas memang tidak pernah memberi mandat kepada mana-mana pimpinan untuk mengadakan perbincangan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa ada wakil daripada parti pembangkang meminta untuk bertemu dengannya dan Perdana Menteri, bagi membincangkan usaha membentuk kerjasama dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-16.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, beliau masih belum terbuka hati untuk berjumpa dengan wakil parti berkenaan.
Malah, Presiden UMNO itu dilaporkan turut berkata `jangan dipatuk ular tempat sama’.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya kini sedang mengkaji secara mendalam untuk memperkukuhkan kedudukan dengan parti gabungannya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menang PRU-16.
“Pas sedang sibuk kaji dan menumpukan usaha memperkukuhkan PN, dan yakin PN mampu menghadapi PRU16 dengan cemerlang walaupun tanpa UMNO,” kata beliau. – UTUSAN










