KOTA BHARU: Parti Sedar Rakyat (Sedar) yang aktif di Sarawak mengesahkan menghantar calon bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos ini.
Presidennya, Othman Abdillah berkata, ketika ini Sedar sudah mempunyai senarai pendek, namun sedia membuat penambahan sebelum proses penamaan calon.
Menurut beliau, Sedar mahu menamakan seorang calon yang bukan sahaja berkelayakan tinggi, namun boleh bekerja kuat dan mempunyai rekod bersih.
“Kami (Sedar) menawarkan diri sebagai pilihan terbaik untuk rakyat di DUN Nenggiri termasuk mereka yang tidak puas hati dengan parti yang bertanding sebelum ini. Pada masa sama, kami mahu menjadi pilihan tepat pengundi-pengundi atas pagar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Othman berkata, hasil tinjauan di DUN Nenggiri mendapati berlaku ketidakpuasan hati dalam kalangan pengundi kepada kedua-dua gabungan politik sedia ada.
Katanya, kedua-dua gabungan politik sedia ada sentiasa porak-peranda sehingga wakil yang dipilih rakyat sebelum ini bertindak sesuka hati dengan keluar parti.
“Ini semua hanya menyusahkan rakyat,” katanya.
Othman berkata, Nenggiri kawasan berpotensi besar untuk berkembang dan mencapai sosioekonomi yang maju jika diurus tadbir dengan baik.
Katanya, bagi merealisasikan hasrat itu, Nenggiri amat memerlukan perwakilan yang segar dan ikhlas untuk berkhidmat.
“Jika dipilih, Sedar akan mengemukakan dasar-dasar yang fokus kepada segala aspek peningkatan hidupan harian penduduk Nenggiri.
“Sedar akan memantau dengan rapi kecekapan serta ketelusan setiap agensi kerajaan negeri dalam melaksanakan projek-projek yang diluluskan. Jika wujud penyelewengan dan bukti, kita akan dedahkan,” katanya. – UTUSAN










