GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran hospital, pusat perubatan dan stesen oksigen di seluruh wilayah akan berhenti berfungsi dalam tempoh 48 jam.
Kementerian dalam kenyataan berkata, keadaan ini disebabkan oleh kekurangan bahan api yang diperlukan untuk menghidupkan generator, ketika perang berterusan yang hampir memasuki sembilan bulan di Gaza.
Bahan api adalah antara keperluan yang dihadkan oleh Israel daripada memasuki Gaza, termasuk bekalan penting lain seperti ubat-ubatan dan makanan.
Ini menunjukkan bekalan bahan api hampir habis, walaupun langkah penjimatan ketat dilaksanakan kementerian untuk memulihara bekalan operasi yang tidak mencukupi.
Kementerian menggesa semua organisasi antarabangsa dan kemanusiaan untuk segera campur tangan, membekalkan bahan api diperlukan, termasuk generator elektrik dan alat ganti penyelenggaraan.
Jumaat lalu, Pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, Hossam Abu Safiya berkata, hospital itu akan menghentikan operasi dalam masa terdekat kerana kekurangan bahan api diperlukan untuk generator.
“Jika bahan api tidak disimpan dalam tempoh beberapa jam, kami terpaksa mengumumkan penutupan satu-satunya hospital di utara Gaza, mempertaruhkan nyawa pesakit termasuk kanak-kanak di wad pediatrik,” katanya kepada Anadolu.
Sehingga kini, lebih 37,800 rakyat Palestin terbunuh, manakala 86,800 yang lain cedera akibat serangan Israel di Gaza.
Serangan ‘brutal’ Israel turut melumpuhkan seluruh wilayah Gaza, di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan bekalan perubatan yang mengheret penduduknya kepada risiko kebuluran.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Terkini, Israel membuat keputusan baharu mengarahkan Tel Aviv menghentikan serta-merta operasi ketenteraan di Rafah.- ANADOLU










