SEREMBAN: Negeri Sembilan Festival 2024 atau NS Fest 2024 yang akan diadakan di Nilai pada 27 Julai hingga 3 Ogos depan dijangka akan menarik kehadiran lebih 500,000 orang pengunjung dengan nilai jualan dua kali ganda dari tahun sebelumnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, NS Fest pada tahun lalu telah menerima kehadiran pengunjung seramai 350,000 orang dan berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.3 juta.
“Ini program tahunan yang menggabungkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan,Arena Usahawan dan Festival Makanan Negeri Sembilan, penganjurannya tahun ni selama lapan hari dan kita berusaha memastikan kunjungan pengunjung dan nilai jualan dua kali ganda dari tahun sebelumnya.
“Pada tahun lepas, kita menerima maklum balas yang baik dan peniaga juga meminta untuk sambungkan lagi penganjuran selama empat hari, ia menunjukkan sambutan terhadap NS Fest ini amat menggalakkan,”katanya pada sidang akhbar Majlis Prapelancaran NS Fest 2024 di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini, hari ini.
Menurut Aminuddin, sebanyak 250 rerurai akan mengambil bahagian dalam penganjuran tahun ini selain pelbagai pengisian program untuk pengunjung yang hadir ke NS Fest 2024
“Penganjuran kali juga menampilkan kelainan selain daripada penjualan hasil pertanian, pameran lembu sado juga akan diadakan.
“Selain itu, pengunjung juga akan dapat menikmati pengetahuan dan pengalaman berkaitan Adat Perpatih Negeri Sembilan selain tarikan makanan tradisional juga akan ditampilkan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, objektif penganjuran NS Fest ini adalah untuk mewujudkan satu program jenama yang sinonim dengan Negeri Sembilan dan mampu menjadi tarikan orang ramai.
“NS Fest juga bertujuan untuk menyelaraskan kesemua program berskala kecil atau sederhana yang dilaksanakan oleh agensi dan jabatan kerajaan di peringkat Negeri Sembilan secara bersepadu supaya dapat menghasilkan impak yang lebih berkesan,” katanya.-UTUSAN.











