BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mahu tenteranya kekal di kawasan sempadan Gaza-Mesir yang dikenali sebagai Koridor Philadelphi, selain menekankan Kabinet akan membuat keputusan dalam satu undian.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant diketahui menentang pendirian Netanyahu dalam mengekalkan pasukan tentera di kawasan itu.
Bercakap kepada Saluran 14, Netanyahu berkata, Israel akan kekal di Koridor Philadelphi, menekankan berada di sana mempunyai ‘keistimewaan politik dan keselamatan’.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut.
Netanyahu berkata, semua pihak dibenarkan untuk memberikan pandangan mengenai isu itu termasuk dirinya sendiri, tetapi keputusan bergantung kepada undian majoriti dalam Kabinet.
Bagaimanapun, beliau yakin Kabinetnya akan menyokong keputusan untuk kekal di kawasan sempadan itu.
Minggu lalu, kumpulan pejuang Hamas menuduh Netanyahu cuba menghalang usaha gencatan senjata Gaza dengan memperkenalkan tuntutan baharu, yang bukan sebahagian daripada cadangan dibincangkan sebelum ini dengan pengantara dari Mesir dan Qatar.
Walaupun berbulan-bulan usaha rundingan dihalang oleh keengganan Israel di bawah perlindungan Amerika Syarikat (AS), perjanjian komprehensif belum dicapai.
Setakat ini, usaha AS, Qatar serta Mesir untuk menjadi pengantara perjanjian antara Israel dan Hamas dihalang oleh penolakan Netanyahu terhadap gesaan kumpulan pejuang Palestin untuk menghentikan permusuhan.- ANADOLU










