Nelayan lakukan kerja alternatif keluar dari kemiskinan

Nelayan lakukan kerja alternatif keluar dari kemiskinan

SEORANG nelayan, Mohd Haszaidi Hassan (dua dari kiri) mampu menjana pendapatan sehingga RM10,000 dengan mengusahakan perkhidmatan ‘choley’ di Kampung Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pendapatan tidak menentu membuatkan golongan nelayan mula mengambil pendekatan untuk mengubah nasib hidup dengan memilih kerjaya alternatif sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan.

Sebahagian besar nelayan khususnya di Kampung Nelayan Warna- Warni Seberang Ramai Kuala Perlis, di sini, mengambil langkah tersebut bagi membolehkan mereka meraih pendapatan lebih stabil bagi menampung keperluan keluarga.

Seorang nelayan dari kampung berkenaan, Mohd Haszaidi Hassan, 40, berkata, dia memilih untuk mengusahakan perkhidmatan ‘choley’ yang merupakan sebuah pengangkutan diubah suai bagi membawa pelancong melawat sekitar kawasan kampung berkenaan.

Katanya, dia mengusahakan perkhidmatan choley ini sejak Februari lalu selepas mendapati pendapatan sebagai nelayan tidak menentu bagi menampung kehidupan.

“Ketika itu saya menggunakan modal wang simpanan sendiri dengan bermula tiga buah choley sahaja dan setakat ini, saya telah menambah dua buah lagi bagi menampung perkhidmatan pelancong di kampung ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, bapa kepada seorang anak itu berkata, sebelum ini, dia hanya mampu meraih pendapatan sekitar RM1,000 sebulan menerusi hasil tangkapan laut sebagai nelayan.

Ujarnya, menerusi perkhidmatan choley itu, dia mampu meraih pendapatan sehingga RM10,000 sebulan secara keseluruhan.

“Saya mendapat cetusan bagi menyediakan perkhidmatan ini selepas kawasan kampung ini semakin mendapat perhatian dari pelancong luar yang berkunjung ke sini,” katanya.

Sementara itu, seorang bekas nelayan, Padlyssham Che Din, 43, berkata, dia memilih beralih ke bidang perusahaan kedai makan susulan pendapatan lebih terjamin pada setiap bulan bagi menampung keperluan keluarga.

Katanya, dia dan isteri membuka kedai makan di kawasan Pulau Ketam, di sini, sejak lebih setahun lalu selepas lokasi berkenaan dibangunkan untuk tujuan pelancongan.

“Pendapatan kedai makan ini lebih terjamin memandangkan saya mampu meraih pulangan dua kali ganda berbanding bekerja sebagai nelayan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Ismail Akob, 62, berkata, kebanyakan nelayan memilih untuk mencari pendapatan alternatif memandangkan hasil tangkapan yang tidak menentu dan bergantung kepada faktor cuaca.

Dia yang juga mengusahakan jualan kuih sepit bersama isterinya berkata, nelayan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan semata-mata khususnya dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

“Pendapatan nelayan dalam sebulan adalah sekitar RM1,000 ke RM1,500 dan jumlah itu memang tidak mencukupi dengan keadaan sekarang.

“Oleh itu, saya saran agar nelayan memilih untuk melakukan kerjaya lain yang lebih stabil sekali gus dapat membantu mereka keluar dari kemiskinan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×