MyKiosk selesai isu ‘penjaja rambo’

MyKiosk selesai isu ‘penjaja rambo’

RAIS Yasin (kiri) bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh ketika Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 144 gerai MyKiosk yang terdapat di negeri ini dijangka dapat menyelesaikan isu ‘penjaja rambo’ yang membuka gerai di kawasan tidak dibenarkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, beliau mendapat maklumat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bahawa terdapat ramai penjaja membuka gerai sesuka hati di lokasi yang tidak sesuai.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja mengganggu orang lain malah turut mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pelanggan.

“Terdapat penjaja yang berniaga tanpa mengira kawasan termasuk di lebuh raya dan tempat-tempat yang boleh membahayakan mereka serta pengunjung. Walaupun Melaka melaksanakan dasar mesra penjaja tetapi mereka perlu ambil maklum tempat-tempat yang dilarang untuk berniaga.

“Saya berharap kita ada komunikasi dua hala sebelum mereka ini diberikan notis agar mencari lokasi yang lebih baik dan sesuai. Kepada yang berminat dengan MyKiosk boleh membuat permohonan dan kadar sewaan serendah RM50 dan tidak melebihi RM150 sebulan, bergantung kepada PBT kawasan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Rais, satu kawasan uptown yang menempatkan kira-kira 30 peniaga MyKiosk secara berpusat akan dibuka di Stadium Hang Jebat.

Katanya, projek perintis yang menelan kos sebanyak RM700,000 itu kini pada peringkat melantik kontraktor.

“Kita buat secara berpusat di kompleks tersebut kerana memiliki tempat letak kereta yang luas, selain kerap diadakan pelbagai acara yang dapat menarik kehadiran orang ramai. Projek ini dalam proses lantikan kontraktor dan dijangka dibuka pada tahun ini juga,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini