KOTA BHARU: UMNO Kelantan mendedahkan sikap talam dua muka Pas yang tidak ikhlas berkawan dengan parti itu menyebabkan Muafakat Nasional (MN) sukar untuk dihidupkan semula selepas kerjasama itu terkubur.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Ketua Penerangan UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, pihaknya mahu Pas segera menghentikan dakwaan mengaitkan kerjasama parti itu dengan DAP yang menjadi punca MN sukar dihidupkan.
“Dakwaan itu tidak benar, ia berpunca sikap Pas yang tidak ikhlas dalam membentuk kerjasama dengan UMNO. Untuk menutup kelemahan mereka, Pas menjadikan DAP sebagai ‘bebiri hitam’ di atas kegagalan menghidupkan semula MN.
“Perlu diingat, kerjasama yang UMNO jalinkan bersama Pakatan Harapan (PH) hari ini adalah atas titah Yang Dipertuan Agong selepas Pas dan Bersatu menolak penubuhan Kerajaan Perpaduan.
“Saya amat kecewa, setelah berpuluh tahun ‘berlawan’ dua parti Melayu Islam terbesar di Malaysia telah berpadu dengan linangan air mata sesama saudara seagama membentuk MN, namun sayang ia hancur disebabkan sebuah pengkhianatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Noor Hariri berkata, pengkhianatan itu jelas apabila Pas sanggup bersekongkol dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN).
Katanya, situasi itu lebih jelas apabila Pas rela bersama PN untuk berlawan dengan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Mengulas lanjut, Noor Hariri memberitahu, tindakan Pas memainkan semula isu ini lebih kepada meraih simpati menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini.
Katanya, ketika ini Pas dilihat sudah ketandusan isu untuk membantu kemenangan rakan sekutu mereka Bersatu selepas BN menampilkan calon muda yang merupakan anak tempatan untuk bertanding di PRK Nenggiri.
Kerjasama Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) yang dianggap antara strategi politik paling berkesan dalam menyatupadukan orang Melayu Islam sebelum ini sukar dihidupkan.
Hal demikian kerana pendirian semasa UMNO untuk bersama DAP selain Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri menolak kerjasama dengan Pas.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, formula atau bentuk kerjasama yang pernah dijalin antara Pas dan UMNO menerusi MN sebelum ini adalah satu permuafakatan yang terbaik pernah berlaku. – UTUSAN










