RABAT: Pihak berkuasa Maghribi meneruskan usaha untuk memadam kebakaran di Hutan Shershera di bahagian timur, ketika gelombang haba melanda negara itu.
Kebakaran berhampiran bandar Taza sejak Rabu lalu, berlanjutan selama tiga hari berturut-turut.
Menurut Pengarah Wilayah Agensi Air dan Perhutanan Maghribi di Taza, Murad Al-Saafadi, kebakaran itu memusnahkan 40 hektar Hutan Shershera, setakat tengah hari semalam.
“Nasib baik tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, kerana penduduk dari kawasan berhampiran sudah dipindahkan lebih awal.
“Segala usaha giat dilakukan untuk memadamkan kebakaran,” kata Al-Saafadi yang juga berharap operasi pemadaman segera selesai.
Direktorat Meteorologi Maghribi mengeluarkan amaran untuk cuaca panas melampau, dengan suhu dijangka mencecah sehingga 46 darjah Celsius di beberapa kawasan seluruh negara.
Cuaca panas ekstrem ini dijangka berterusan selama beberapa hari.
Mei lalu, Agensi Air dan Perhutanan Maghribi memberi amaran mengenai peningkatan risiko kebakaran hutan semasa musim panas disebabkan oleh kemarau serta suhu tinggi berterusan di seluruh negara.- ANADOLU










