KAHERAH: Liga Arab bersetuju untuk memboikot syarikat berkaitan dengan Israel dan mengisytiharkan larangan terhadap syarikat yang melanggar peraturan serta ketetapan boikot dalam pelaburan di penempatan haram Yahudi.
Ini terkandung dalam kenyataan yang dikeluarkan pada penutup Persidangan ke-96 Pegawai Perhubungan Pejabat Wilayah Arab mengenai Boikot Israel, yang berlangsung di Kaherah, semalam.
Perwakilan Arab juga mengeluarkan notis kepada syarikat lain, menuntut mereka menarik balik pelaburan dan menghentikan kerjasama dengan rejim penempatan penjajah mengikut peraturan boikot yang ditetapkan.
Para peserta menyatakan penghargaan terhadap usaha gerakan boikot, pelupusan dan sekatan (BDS), mengakui impak yang meluas dan pencapaiannya dalam menghadapi pendudukan Israel, penjajahan dan apartheid serta menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Persidangan yang diketuai Penolong Setiausaha Agung Liga Arab bagi Palestin dan Wilayah Arab yang Diduduki, Saeed Abu Ali, turut menekankan kepentingan untuk mengukuhkan tugas agensi boikot Arab serta mengawasi usaha dan aktiviti mereka dalam melaksanakannya.
Persidangan itu juga menekankan kepentingan untuk meningkatkan kerjasama serta penyelarasan antara Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam membangunkan mekanisme boikot Islam serta mengintegrasikan boikot Arab dan antarabangsa.
Ia turut menggesa Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mematuhi kemas kini tahunan ‘senarai hitam’ syarikat global dan Israel yang beroperasi di penempatan haram di wilayah Tebing Barat dan Golan, selaras resolusi Majlis 31/36 tahun 2016.
Persidangan mengutuk sebarang undang-undang atau keputusan yang menjenayahkan dan menyerang gerakan BDS, menghalang pelupusan serta tindakan boikot terhadap Israel.
Selain itu, persidangan juga menggesa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) melarang Israel daripada menyertai acara sukan, berikutan tindakan genosidnya di Gaza.- AGENSI










