TAMPIN: Seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan di Gemencheh di sini semalam selepas dia disyaki merogol anak kandungnya sendiri.
Kejadian tersebut turut menyebabkan mangsa melahirkan seorang bayi yang kini sudah pun berusia empat tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman, perbuatan terkutuk lelaki itu terbongkar selepas ibu saudara mangsa membuat laporan polis pada pukul 9.36 malam semalam.
“Kam menerima satu laporan mengenai kes rogol yang dilakukan oleh bapa kandung terhadap anak perempuannya secara paksa sehingga melahirkan seorang anak.
“Bertindak atas laporan yang dibuat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin telah menangkap seorang lelaki berusia 52 tahun pada pukul 10 malam hari yang sama kerana disyaki terlibat dengan kes rogol tersebut.
“Lelaki itu yang merupakan bapa mangsa kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ujar Amiruddien lagi, siasatan awal mendapati kejadian rogol itu telah berlaku sejak tahun 2019 semasa mangsa baru berusia 20 tahun sehingga bulan ini.
Menurutnya, mangsa tidak mahu membuat laporan polis kerana takut serta bimbang terjadi apa-apa terhadap dirinya.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.-UTUSAN.











