Latihan Tembak Taktikal perkasa keselamatan balai polis - Utusan Malaysia

Latihan Tembak Taktikal perkasa keselamatan balai polis

NOOR HISAM Nordin (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima sempena Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar bagi Julai 2024 di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang di Kuantan, Pahang - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang mengambil langkah melaksanakan latihan Tembak Taktikal sebagai inisiatif mengukuhkan keselamatan balai di seluruh negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, latihan yang diadakan bermula 6 Jun dan berakhir 12 Julai itu melibatkan 130 anggota Kem Komandan, Cawangan Istana serta petugas-petugas di 11 daerah di negeri ini.

Katanya, latihan di bawah Taklimat Pemerkasaan Keselamatan dan Pertahanan Balai Polis bagi Petugas Barisan Hadapan itu juga dilaksanakan mengambil kira faktor keselamatan dan pertahanan balai yang semakin runcing susulan kejadian di Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei lalu.

“Sebagai mengambil iktibar insiden di Ulu Tiram Johor kita Kontinjen mengambil inisiatif melatih petugas balai untuk mempertahan dan pengendalian senjata yang lebih mantap.

“SOP (prosedur operasi standard) itu sudah ada, cuma kita mahu memperkasakan kembali semua langkah-langkah keselamatan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar bagi Julai 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Tambah Noor Hisam lagi, latihan Tembak Taktikal itu dilaksanakan di seluruh Kontinjen Pahang mengikut zon.

“Objektif utama pelaksanaannya bagi melatih petugas-petugas di lapangan agar sentiasa siap siaga dan lebih peka dengan persekitaran penugasan mereka,” ujarnya.

Mengulas penutupan balai selepas pukul 10 malam, beliau berkata, balai beroperasi seperti biasa namun orang awam perlu melapor diri terlebih dahulu di pos balai.

Ujarnya, lapor diri berkenaan sebagai tapisan awal bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar mempunyai urusan sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam.

“Mungkin kita akan benarkan seorang sahaja atau jika melibatkan kanak-kanak, kita akan benarkan waris teman.

“Kita tidak boleh menyekat orang awam masuk balai, tapi apa yang kita boleh buat adalah kita tapis awal. Malam sahaja, siang tidak ada masalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN