SEREMBAN: Setiap peniaga buah bermusim seperti durian ketika ini dikehendaki melantik kontraktor berlesen bagi memastikan sisa buangan jualan mereka itu dapat diurus dengan baik dan dilupus di tapak pelupusan yang telah ditetapkan.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, perkara tersebut telah ditetapkan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang menghendaki mereka melupuskan sisa buangan kulit raja buah itu di tempat yang dibenarkan sahaja.
“Sekiranya didapati peniaga ingkar dan tidak patuh mereka boleh berdepan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,”katanya.
Bagaimanapun, Cairul Hisham berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung ketidakpatuhan tersebut.
“Begitu juga tiada lokasi pembuangan sampah haram sisa buangan kulit durian dikenalpasti dalam kawasan Negeri Sembilan buat masa ini.
“Bagaimanapun kami menyedari berlaku peningkatan sisa buangan kulit durian memandangkan pengeluaran dan jualan buah durian yang tinggi ketika ini.
“Peningkatan sisa buangan itu boleh dilihat di pusat-pusat tong sampah jenis leach bin di Pasar Ampangan, Jalan Utam Singh, Pusat Penjaja Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Dataran Senawang dan tong Roll-On-Roll-Off (RORO) Pasar Besar Seremban.
“Tindakan yang diambil kini adalah dengan membuat sesi libat urus di samping penguatkuasaan yang akan dijalankan secara berterusan. Kami juga meminta peniaga agar dapat menyewa tong RORO dan menguruskan sisa buangan dengan betul,” jelasnya.-UTUSAN.










