KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan masih mengumpul maklumat berkait dengan cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri yang membabitkan keluasan sebanyak 514,898 hektar.
Timbalan Menteri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkembangan berkait dengan cadangan itu akan dibentangkan sebaik sahaja semua proses berkaitan selesai.
“Kerajaan negeri masih dalam proses mengumpulkan semua maklumat berkenaan KSAS dan buat masa ini kita belum boleh mendedahkan sebarang maklumat.
“Apabila selesai semua proses berkaitan kita akan beritahu perkembangannya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kilang Paip HDPE Kel Intaaj Sdn. Bhd di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) oleh kerajaan negeri terus mendapat bantahan rakyat Kelantan apabila lebih lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di hadapan pekarangan Kompleks Kota Darulnaim.
Pada masa sama NGO dari Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Save Kelantan, Kelab Cakna Alam Kelantan dan pihak yang mewakili masyarakat Orang Asli dari 15 buah kampung di hulu negeri ini turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Kerajaan Kelantan sebagai tanda tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Sementaran itu dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli memberitahu, kilang paip milik Kel Intaaj Sdn. Bhd merupakan kilang pertama dibina di kawasan Pantai Timur.
Katanya, pembukaan itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam usaha menyelesaikan isu ‘non revenue water’ (NRW) yang sangat kritikal sehingga menjejaskan bekalan air bersih dan terawat di seluruh Kelantan.
“Pengoperasian kilang ini bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan mutu khidmat bekalan air bersih, malah usaha kita untuk menarik pelabur dan merancakkan pergerakan ekonomi negeri.
“Kilang yang dibina di atas tanah seluas 0.32 hektar yang dipajak oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ini telah memperoleh ‘Certificate of Completion and Compliance’ (CCC) dan kelulusan Lesen Pengilang daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” ujarnya.-UTUSAN











