SEOUL: Korea Utara hari ini menguji dua peluru berpandu balistik jarak dekat, sehari selepas Pyongyang mengutuk latihan ketenteraan bersama oleh Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.
Ketua Turus Bersama Tentera Korea Selatan berkata, peluru berpandu jarak dekat pertama dilancarkan kira-kira pukul 5.05 pagi (waktu tempatan) ke kawasan timur dari bandar Jangyon, Korea Utara.
Satu lagi peluru berpandu dilancarkan 10 minit kemudian dari kawasan yang sama.
Katanya, peluru berpandu pertama bergerak dengan kelajuan 600 kilometer sejam, manakala peluru berpandu kedua bergerak dengan kelajuan 120 kilometer sejam, namun tidak diketahui di mana ia mendarat.
Korea Utara biasanya menguji peluru berpandu ke arah perairan timur, tetapi jarak peluru berpandu kedua dianggap terlalu pendek untuk mencapai perairan tersebut.
Media Korea Selatan, memetik sumber tentera melaporkan kemungkinan besar peluru berpandu kedua terhempas di kawasan pedalaman di Utara, manakala peluru berpandu pertama mendarat di perairan di luar bandar Chongjin.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran peluru berpandu Korea Utara dan menganggapnya sebagai provokasi yang mengancam keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea,” kata Ketua Turus Bersama Tentera Korea Selatan dalam kenyataan.
Sebelum ini, Korea Utara menuduh Selatan, AS dan Jepun cuba mewujudkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) versi Asia melalui latihan ‘Freedom Edge’.
Latihan itu diadakan selama tiga hari termasuk persediaan peluru berpandu balistik dan pertahanan udara, peperangan anti-kapal selam serta latihan pertahanan siber.










