SEOUL: Korea Selatan menarik balik rancangan awalnya untuk menggantung lesen perubatan doktor yang mogok bagi menyelesaikan kebuntuan yang berlanjutan terhadap sistem perubatan negara itu.
Menteri Kesihatan, Cho KyooHong berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan langkah penggantungan secara menyeluruh, tidak kira sama ada mereka kembali berkhidmat atau tidak.
Beliau berkata, keputusan kerajaan bertujuan untuk menangani kekurangan doktor untuk rawatan kecemasan dan serius serta memulihkan sistem latihan bagi menambah lebih ramai doktor profesional.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada dan berapa ramai daripada ribuan doktor yang mogok akan kembali bekerja selepas pengumuman berkenaan.
Lebih 13,000 doktor pelatih dan doktor junior meletak jawatan pada Februari lalu, bagi membantah rancangan kerajaan untuk meningkatkan kuota sekolah perubatan yang didakwa akan menjejaskan kualiti pendidikan pakar.
Mogok itu mengakibatkan gangguan perkhidmatan di hospital dan memaksa penangguhan atau pembatalan rawatan utama, termasuk kemoterapi.
Mahkamah Seoul pada Mei memutuskan menyokong rancangan kerajaan.
Kerajaan kemudiannya menarik balik rancangan untuk menggantung lesen doktor yang kembali bertugas, tetapi tidak berbuat demikian kepada mereka yang terus tidak bekerja.
Kumpulan doktor yang mogok adalah sebahagian kecil daripada jumlah doktor di Korea Selatan, yang dianggarkan antara 115,000 hingga 140,000 orang.
Namun, di beberapa hospital besar, mereka mewakili kira-kira 30 peratus hingga 40 peratus daripada jumlah pegawai perubatan, yang membantu doktor dan ketua jabatan semasa pembedahan serta rawatan lain sambil latihan.
Pemberhentian mereka menyebabkan pembatalan banyak pembedahan dan penjagaan lain di hospital, termasuk menganggu perkhidmatan perubatan di Korea Selatan.- AP










