KUANTAN: Persatuan Kontraktor Kelas F (PKKF) Pahang mahu semua golongan kontraktor terlibat dalam kaedah Pengiraan Perubahan Harga (VOP) membabitkan kontrak kerajaan yang selama ini tidak memberikan keadilan kepada kontraktor G1.
Difahamkan selama ini hanya kontraktor gred atasan iaitu G3 sehingga G7 terlibat dalam pelaksanaan kaedah tersebut.
Yang Dipertua PKKF Pahang, Ahmad Faiz Zulkifly berkata, semua kontraktor tidak kira gred mempunyai hak untuk dilindungi daripada risiko kewangan tidak dijangka dan VOP mekanisme penting bagi mencapai tujuan tersebut.
Beliau menjelaskan, terdapat sesetengah pihak berpendapat G1 adalah kontraktor kecil yang hanya mengendalikan projek bernilai bawah RM200,000 dan berjangka masa singkat, justeru tidak memerlukan VOP.
“Kita mempersoalkan perkara ini kerana walaupun projek G1 adalah kecil, mereka tetap terdedah kepada kenaikan kos bahan binaan yang tidak dijangka. Dalam situasi ekonomi tidak menentu, harga bahan binaan boleh melonjak ketara dalam tempoh singkat sekali gus memberi tekanan kepada margin keuntungan yang sememangnya tipis bagi kontraktor G1.
“G1 beroperasi dalam persekitaran ekonomi sama seperti kontraktor besar. Ketidaktentuan ekonomi seperti inflasi, perubahan dalam kadar tukaran mata wang dan gangguan dalam rantaian bekalan boleh menjejaskan kos operasi mereka.
“VOP memberikan jaminan bahawa mereka (kontraktor G1) tidak akan mengalami kerugian besar akibat faktor-faktor di luar kawalan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
VOP adalah indeks bagi mengukur kadar purata harga 14 bahan binaan terpilih untuk enam kategori kawasan di Semenanjung.
Ia meliputi besi, batu bata, kaca, batu baur, bahan siling, bahan bumbung, kayu, papan lapis, kelengkapan kebersihan, jubin, paip, pasir, cat dan cerucuk.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju melaksanakan VOP yang dimansuhkan pada 2022 bagi membantu kontraktor yang terkesan ekoran kenaikan harga bahan binaan susulan penyelarasan subsidi diesel.
Bagaimanapun, Amir Hamzah berkata, ia masih dalam proses perbincangan dengan Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Mengulas lanjut, Ahmad Faiz berkata, G1 biasanya mempunyai sumber kewangan terhad berbanding kontraktor besar.
Jelasnya, dengan adanya VOP, kontraktor G1 dapat menumpukan perhatian untuk memastikan kualiti kerja tanpa bimbang tentang kesan kewangan daripada kenaikan kos tidak dijangka.
Beliau menambah, ini dapat meningkatkan kepuasan pelanggan kerana projek dapat diselesaikan mengikut spesifikasi tanpa mengorbankan kualiti disebabkan masalah kewangan.
“Walaupun projek G1 cenderung berjangka masa singkat dan bernilai rendah, tidak semua projek adalah sama. Beberapa projek mungkin mengalami perubahan skop atau lanjutan tempoh yang boleh menimbulkan risiko kenaikan kos. Dalam situasi ini, VOP menjadi penting untuk melindungi kontraktor daripada risiko tersebut,” katanya.
Menurutnya, menolak VOP kepada kontraktor G1 boleh dianggap tidak adil dan mendiskriminasikan kontraktor kecil.
Jelasnya, semua golongan kontraktor, tidak kira saiz atau gred seharusnya mempunyai hak yang sama untuk dilindungi daripada perubahan kos tidak dijangka.
“Secara keseluruhannya, walaupun kontraktor G1 mengendalikan projek-projek kecil, mereka tetap berhadapan risiko kenaikan kos dan ketidaktentuan ekonomi yang sama seperti kontraktor lain.
“Oleh itu, melibatkan mereka dalam VOP penting demi memastikan kelangsungan perniagaan mereka, memastikan kesamarataan dalam industri dan mempromosikan kualiti serta kepuasan pelanggan,” katanya. – UTUSAN











