KUCHING: Kerajaan negeri secara prinsipal bersetuju projek solar agrovoltaik (tekanan isi padu) hasil inisiatif Planet QEOS Sdn. Bhd. (Planet QEOS) diteruskan di negeri ini.
Perkara itu dinyatakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam pertemuan khas dengan pengurusan Planet QEOS di sini, baru-baru ini.
Planet QEOS dalam satu kenyataan memaklumkan, Fasa 1 dijangka menelan kos RM2 bilion dan dijadualkan siap pada 2026.
Menurutnya, projek tersebut bukan sahaja menyasarkan untuk merevolusikan bagaimana tenaga diperbaharui dijana, tetapi juga memfokus kepada komponen keselamatan makanan yang kritikal selain menyediakan ribuan peluang pekerjaan dalam bidang tenaga diperbaharui dan teknologi makanan di wilayah Baram.
“Kerajaan negeri Sarawak secara prinsipal meluluskan mengambil kira Planet QEOS membuat kajian kebolehlaksanaan dalam Fasa 1 bagi menjana antara 500 hingga 4,000 megawatt kuasa dengan arus berselang-seli (MWac) kuasa diperbaharui menerusi tenaga solar di Baram.
“Kajian kebolehlaksanaan juga meliputi grid tenaga hijau sepanjang 180 kilometer bersama saluran paip gas Sabah dan Sarawak menghubungkan tenaga dioperbaharui dari Baram ke Tanjung Kidurong, Bintulu.” kata kenyataan itu. – UTUSAN










