PASIR PUTEH: Sebuah kapal kargo yang membawa empat buah kontena mengandungi rokok pelbagai jenama ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan selepas bersauh tanpa kebenaran diperairan negeri ini pada Jumaat.
Penahanan kapal itu dilakukan pada pukul 10.45 pagi selepas Maritim, Kelantan menerima maklumat risikan berkait dengan pelanggaran undang-undang.
Pengarahnya Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, sejurus menerima maklumat Maritim Kelantan telah menggerakan aset ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.
Menurutnya, sejurus tiba Maritim Kelantan mendapati kapal tersebut sedang bersauh dalam keadaan yang mencurigakan dengan tidak mengaktifkan sistem pengesanan automatik (AIS).
“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati kapal tersebut dinaiki oleh nakhoda bersama tujuh orang kru warganegara Indonesia masing-masing diantara 23 hingga 48 tahun.
“Kapal tersebut didapati membawa empat buah kontena mengandungi rokok pelbagai jenama. Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal tersebut gagal untuk mengemukakan surat kebenaran bersauh oleh Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini sebentar tadi.
Erwan Shah Soahi memberitahu, pada masa sama nakhoda telah mengemukakan dokumen manifest kapal yang meragukan dan kesemua kru ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan Seksyen 491E Ordinan yang sama kerana gagal mengaktifkan Sistem Pengesanan Automatik (AIS) tanpa sebab yang munasabah.









