Johor pantau penyebaran ajaran sesat Millah Abraham - Utusan Malaysia

Johor pantau penyebaran ajaran sesat Millah Abraham

MOHD. FARED Mohd. Khalid (tengah) memotong riben sebagai gimik perasmian Pusat Kemahiran Jahitan MAINJ di Bukit Dahlia, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) mengesahkan menerima laporan polis berkaitan ajaran sesat Millah Abraham di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, pihaknya turut mendapat taklimat daripada Cawangan khas Bukit Aman tentang ajaran tersebut.

“Kita sudah tahu pergerakan mereka dan kita juga ambil maklum mereka cuba memasuki negeri ini, tetapi yakinlah kepada kepimpinan di bawah portfolio agama dengan seluruh kekuatan JAIJ.

“Kita akan membasmi ajaran sesat ini yang cuba menyelewengkan, kita akan pastikan mereka tidak akan bertapak di Johor,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Kemahiran Menjahit Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Bukit Dahlia, Pasir Gudang,  dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Nasri Md. Ali dan Penasihat MAINJ, Datuk Dr. Nooh Gadut.

Rabu lalu, tiga beranak dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam serbuan di dua buah rumah berasingan di Sungai Kelamah, Gemas dan Palong 3, Jempol.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, hasil siasatan awal mendapati, mereka juga dipercayai cuba menyebarkan ajaran terbabit kepada ahli keluarga dan masyarakat di negeri ini.

Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama, iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman mereka tanpa berdasarkan kitab tafsir.

Mengulas lanjut, Mohd. Fared berkata, pergerakan pengikut Millah Abraham kini dalam pemantauan dan JAIJ akan memastikannya dapat dipatahkan namun bimbang penyebarannya menggunakan sosial media.

“Kalau kerajaan halang pun, bagilah taklimat macam mana sekali pun, tetapi tuan-tuan dengar menerusi YouTube dan TikTok, itupun kurang baik juga. Nasihat saya benda yang pelik-pelik ini kita tinggalkan, tak ada benda yang senang, tak ada Tuhan kata tak payah sembahyang, pakai niat sahaja, bohong semuanya,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN