JOHOR BAHRU: Vertiv menyasarkan untuk memperkukuh rantaian bekalan, daya tahan serantau serta keupayaan penempatan penyelesaian infrastruktur kuasa dan penyejukan bersepadu susulan pembukaan rasmi kemudahan pembuatan baharunya di Senai, di sini.
Pembukaan kilang seluas kira-kira 236,000 kaki persegi (21,900 meter persegi) itu meletakkan Johor sebagai paksi utama dalam peta pembuatan, kejuruteraan dan logistik global Vertiv ekoran kedudukannya yang dekat dengan hab teknologi utama serantau.
Langkah strategik oleh gergasi infrastruktur digital kritikal global itu adalah bagi menyokong lonjakan permintaan terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) serta pengkomputeran berketumpatan tinggi di rantau Asia termasuk Asia Tenggara, Asia Utara, Australia dan New Zealand.
Naib Presiden dan Pengurus Besar Vertiv Asia, Paul Churchill berkata, faktor kepantasan untuk menembusi pasaran menjadi tuntutan utama pelanggan pada masa kini, sekali gus menjadikan Johor lokasi paling strategik berbanding hab pembuatan lain.
Katanya, penghantaran dari India mengambil masa tambahan beberapa minggu untuk sampai ke rantau ini, selain terdedah kepada risiko gangguan laluan perkapalan global seperti isu ketegangan geopolitik yang berlaku di Asia Barat baru-baru ini.
“Melalui operasi di Malaysia, kami mempunyai pilihan logistik yang lebih baik termasuk pengangkutan darat ke Thailand dan beberapa lokasi lain. Malah, kebanyakan laluan perkapalan dari sini adalah jauh lebih pendek, cekap dan mudah.
“Melihat kepada unjuran pasaran, kami meramal rantau Asia merupakan pasaran seterusnya yang akan menyaksikan lonjakan pelaburan pusat data yang sangat aktif selepas Amerika Syarikat (AS).
“Rangkaian pelaburan ini dijangka berterusan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya semasa sidang akhbar selepas majlis pelancaran syarikat di sini, semalam.
Turut hadir ialah Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Johor, Mohamad Reduan Mohd Zabri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vertiv, Giordano Albertazzi berkata, Asia terus memimpin sebagai antara rantau yang mencatatkan pertumbuhan terpantas bagi pelaburan AI dan infrastruktur digital.
“Peluasan jejak pembuatan di Malaysia ini bertujuan untuk meningkatkan lagi keupayaan dalam menyokong pelanggan menerusi aspek kualiti, kepantasan, skala besar, serta daya tahan rantaian bekalan.
“Ketika keperluan pengkomputeran berkembang merentasi pelbagai generasi infrastruktur AI, pelanggan memerlukan rakan kongsi yang mampu menyediakan penyelesaian kuasa, penyejukan dan infrastruktur pada skala yang besar,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Natazha Hariss berkata, keputusan Vertiv untuk melabur di Johor membuktikan keyakinan tinggi pelabur global terhadap peranan negeri tersebut sebagai hab strategik bagi infrastruktur digital dan pembuatan maju.
“Di samping kemasukan modal, apa yang lebih bermakna buat negeri ini adalah penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi, ruang pembangunan bakat tempatan, serta pengukuhan keupayaan industri yang akan memberi limpahan ekonomi jangka panjang kepada Johor,” katanya.
Kemudahan di Senai direka khusus untuk menyokong proses pembuatan hujung-ke-hujung, pemasangan, serta ujian pengesahan bagi infrastruktur haba dan kuasa termaju untuk pasaran enterpris, awan dan persekitaran kolokasi.
Apabila beroperasi sepenuhnya menjelang 2027, pembukaan kilang ini dijangka mewujudkan sehingga 500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada tenaga kerja tempatan. – UTUSAN










