TOKYO: Jepun hari ini memberi amaran bahawa China berisiko meningkatkan ketegangan dengan Taiwan melalui peningkatan latihan ketenteraan, yang dilihat sebahagiannya bertujuan mempersiapkan pasukan Beijing terhadap kemungkinan pencerobohan di pulau itu.
Penilaian tahunan Jepun terhadap ancaman keselamatan, termasuk yang dicetuskan oleh negara jiran China, Korea Utara dan Russia, dibuat ketika Taiwan memantau rapat latihan udara dan laut Beijing, termasuk kapal pengangkut pesawat di Pasifik berdekatan.
“Disebabkan peningkatan dalam aktiviti ketenteraan itu, kami tidak boleh menolak kemungkinan ketegangan akan meningkat,” kata Jepun untuk kali pertama dalam Kertas Putih Pertahanan tahunannya.
Latihan itu adalah yang terbaharu dalam siri termasuk gerakan di Selat Taiwan tahun lepas, yang dikatakan oleh jeneral kanan Amerika Syarikat (AS) akan menjadi kunci kepada sebarang pencerobohan.
Amaran Tokyo itu dibuat selepas mesyuarat anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Washington minggu ini, yang menggelar China sebagai pendukung utama perang Russia terhadap Ukraine dan menyifatkan Beijing menimbulkan cabaran sistematik kepada Eropah serta keselamatan.
Jepun bimbang sebarang konflik di Taiwan akan merebak ke wilayahnya.
Dengan pulau paling barat hanya 110 kilometer dari Taiwan, Jepun menjadi tuan rumah kepada lebih 50,000 tentera AS, ratusan pesawat tentera Amerika dan kumpulan penyerang kapal induk yang dikerahkan oleh Washington untuk mempertahankan Taiwan.
Penilaian Jepun setebal 548 muka surat juga menekankan rancangan China untuk menggandakan senjata nuklearnya menjelang 2030.
Menurut laporannya, percubaan Korea Utara untuk meningkatkan keupayaan serangan nuklear dengan satelit pengawasan dan peluru berpandu baharu yang lebih canggih, sudah mencukupi untuk menyerang AS.
Jepun juga mengenal pasti Russia sebagai antara kebimbangan lain, kerana hubungan ketenteraan dengan China dan Korea Utara, yang mula membekalkan peluru meriam dan senjata lain untuk pasukan Moscow bertempur di Ukraine.
Jun lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin menandatangani perjanjian dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dalam perjanjian pertahanan bersama, di mana Moscow boleh menawarkan bantuan ketenteraan kepada Pyongyang.- REUTERS










