MACHANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menyerbu sebuah premis yang dijadikan sebagai ‘makmal’ memproses air ketum di kawasan hutan berhampiran Kampung Pek di sini hari ini.
Dalam serbuan pukul 1 tengah hari itu, JKDM turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses minuman berkenaan termasuk 500 kilogram daun ketum.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan itu hasil maklumat awam dan intipan yang dilakukan JKDM Kelantan selama sebulan.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan kita turut menjumpai buku catatan berkait dengan jualan air ketum. Berpandukan kepada semakan pada buku catatan, kita mendapati lokasi itu sudah beroperasi sejak Januari lalu.
“Nilai jualan bermula RM100 pada Januari dan kini sudah mencecah kepada RM5,000 sehari,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan bekalan ketum itu diperoleh dari kawasan utara tanah air.
Katanya, air ketum yang sudah siap diproses dipercayai untuk pasaran luar daerah Machang.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk peralatan, daun ketum dan lima buah motosikal dianggarkan berjumlah RM100,000.
“JKDM akan terus melipat gandakan operasi dalam membanteras aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang,” ujarnya.-UTUSAN










