Jang lega keluar daripada belenggu kekalahan - Utusan Malaysia

Jang lega keluar daripada belenggu kekalahan

PEMAIN Negeri Sembilan FC, Takumi Sasaki (kiri) diasak seorang pemain Sri Pahang dalam perlawanan Liga Super di Temerloh semalam.-GAMBAR/NSFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejayaan meraih kemenangan ke atas pasukan Sri Pahang FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang, petang semalam sudah pasti melegakan kem Negeri Sembilan FC (NSFC) khususnya buat ketua jurulatih mereka, Azzmi Ab. Aziz.

Kemenangan dengan jaringan 2-0 itu ternyata mengembirakan apatah lagi selepas (NSFC) tidak meraih sebarang mata sebelum ini selepas mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut dalam aksi Liga Super itu.

“Kami bersyukur dengan kemenangan ini yang diusahakan oleh setiap pemain dan pasukan saban hari. Tahniah kepada semua pemain yang cekal meskipun berdepan pelbagai tekanan akibat kekalahan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perlawanan semalam, NSFC menjaringkan gol pertama pada minit ke-24 menerusi R. Barathkumar yang bertindak pantas menyambut sepakan percuma pemain import dari Jepun, Takumi Sasaki dari sebelah kanan gawang tuan rumah.

Sri Pahang hampir menyamakan kedudukan apabila memperoleh sepakan penalti pada minit ke-40, namun gagal disudahkan oleh Stefano Brundo.

Pasukan pelawat mengesahkan kemenangan 2-0 melalui sepakan penalti oleh Sasaki pada minit ke-90. Untuk rekod, NSFC tewas dalam tiga perlawanan liga sebelum ini kepada Johor Darul Ta’zim 1-3, Selangor (0-4) dan Kuala Lumpur (0-3).

Dalam pada itu, menurut Azzmi, kejayaan ke atas Sri Pahang yang menduduki tangga ke-10 liga dicapai oleh para pemain yang mempamerkan aksi mengikut perencanaan pasukan.

”Kami telah mengenal pasti kelemahan yang ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini dan usaha dilakukan untuk merancang formasi lebih jitu.

”Para pemain memahami bahawa perlawanan dengan Sri Pahang ini ibarat hidup atau mati kepada pasukan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azzmi berharap kemenangan tersebut akan mendapat reaksi positif daripada pengurusan NSFC.

Ini kerana, terdapat laporan bahawa ketua jurulatih itu diberi peluang tiga perlawanan liga untuk memperbaiki rekod pasukan sebelum nasibnya diputuskan oleh pengurusan NSFC.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN