Israel lulus resolusi tolak penubuhan negara Palestin

Israel lulus resolusi tolak penubuhan negara Palestin

RESOLUSI diluluskan Knesset dengan 68 undi menyokong dan sembilan menentang dalam undian, kelmarin.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Parlimen Israel (Knesset) meluluskan resolusi yang menolak penubuhan negara Palestin.

Resolusi itu diluluskan di Knesset dengan 68 undi menyokong dan hanya sembilan menentang dalam undian yang dilakukan pada Khamis.

Keputusan itu menekankan, penubuhan negara Palestin akan mencetuskan bahaya kepada Israel dan rakyatnya, selain mengekalkan konflik dan menjejaskan kestabilan serantau.

Gabungan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dengan parti sayap kanan turut menyokong resolusi tersebut, termasuk Benny Gantz.

Undian Gantz, seorang penentang Netanyahu, memberikan tamparan kepada Washington yang melihatnya sebagai individu yang lebih cenderung mencari perdamaian yang dirundingkan dengan Palestin jika beliau menjadi pemimpin Israel.

Ketua pembangkang, Yair Lapid, dari parti berhaluan tengah, meninggalkan sesi tersebut untuk mengelak daripada menyokong kenyataan itu, walaupun sebelum ini beliau memihak kepada penyelesaian dua negara, lapor Times of Israel.

Kementerian Luar Palestin mengecam undian Knesset dan menegaskan sudah tiba masanya konsensus antarabangsa mengenai penyelesaian dua negara diterjemahkan ke dalam langkah praktikal untuk menyelesaikan konflik sebelum terlambat.

Walaupun menyokong Netanyahu dalam perang di Gaza, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, cuba mengekalkan pendirian untuk mencapai penyelesaian dua negara demi kepentingan Israel-Palestin.

Bagaimanapun, Netanyahu berulang kali menolak idea itu.

Penyelesaian dua negara konflik Israel-Palestin menjadi dasar AS selama beberapa dekad.

Bagaimanapun, rundingan yang tidak dihadiri oleh kedua-dua pihak dan kurangnya usaha berterusan AS untuk merealisasikannya, menyebabkan keyakinan terhadap hasil tersebut semakin merosot.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×