GAZA: Pengarah Hospital Al-Shifa, Dr Mohammed Abu Salmiya dibebaskan hari ini, selepas lebih tujuh bulan ditahan dalam operasi ketenteraan Israel, November lalu.
Menurut Pengarah Hospital Al-Nasser di selatan Gaza, Nahedh Abu Taema, Salmiya adalah antara 55 tahanan Palestin dari Gaza yang dibebaskan.
Beliau berkata, 50 daripada mereka dibawa ke Hospital Al-Nasser untuk pemeriksaan kesihatan, manakala lima yang lain dibawa ke Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir al-Balah.
Salmiya bersama beberapa pegawai perubatan lain ditangkap pada 23 November tahun lalu, ketika dalam perjalanan melalui Jalan Salah al-Din dari Gaza City ke kawasan selatan selepas tentera Israel menyerang Hospital Al-Shifa.
Bercakap kepada Anadolu, Salmiya menggambarkan keadaan tahanan sebagai ‘tragis dan belum pernah terjadi dalam sejarah Palestin, dengan kekurangan makanan dan penderaan fizikal’.
“Pendudukan Israel menangkap semua orang, dan kakitangan perubatan meninggal dunia di penjara kerana penyeksaan serta tiada rawatan perubatan.
“Musuh menunjukkan kekejaman mereka terhadap tahanan dan kakitangan perubatan. Ratusan pegawai perubatan menjadi sasaran dan diseksa dalam penjara Israel,” katanya.
Sebelum ini, Israel menuduh Hamas berlindung di Hospital Al-Shifa yang didakwanya menjadi kubu ketenteraan.
Pada 14 November 2023, tentera Israel menyerbu Kompleks Perubatan Al-Shifa untuk kali pertama selepas mengepungnya selama beberapa hari.
Tentera memaksa pesakit, individu yang cedera dan kakitangan perubatan untuk dipindahkan ke kawasan selatan wilayah itu.










