WASHINGTON: Perjanjian normalisasi hubungan antara Israel dan Arab Saudi dijangka bakal dicapai sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), November ini.
Seorang pegawai tinggi Israel mendakwa, perjanjian itu adalah antara isu yang dibincangkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Presiden AS, Joe Biden semasa pertemuan di White House, Khamis lalu.
Menurut Times of Israel, penilaian ini berbeza dengan kenyataan daripada sumber AS dan Israel pada awal Julai lalu, yang mencadangkan perjanjian tidak mungkin berlaku sebelum pilihan raya.
Bahkan, sumber kanan Kongres juga mendakwa mustahil untuk perjanjian itu dicapai sebelum pilihan raya kerana masa tidak mencukupi untuk AS meluluskan pakej keselamatan yang diminta Riyadh dari Washington, sebagai sebahagian daripada inisiatif pentadbiran Biden.
Walaupun mereka tidak menolak sepenuhnya kemungkinan perjanjian dicapai antara pilihan raya dan pelantikan Presiden AS akan datang, ia masih dianggap mustahil.
Bagaimanapun, seorang pegawai White House mendakwa, peluang untuk mencapai perjanjian ‘belum tertutup sepenuhnya’.
Namun begitu, kedua-dua pihak mengakui perjanjian tidak dapat direalisasikan selagi tiada gencatan senjata di Gaza.
Ia adalah syarat yang ditegaskan secara terbuka oleh pegawai tertinggi AS dan Arab Saudi, yang mengakui Riyadh tidak dapat menyokong perjanjian normalisasi di dalam negara atau serantau jika perang Israel di Gaza berterusan.
April lalu, Duta Arab Saudi ke Washington memberitahu New York Times, kerajaan tegas dalam kedudukannya terhadap Israel dan hanya akan mengiktirafnya selepas menerima pakai jalan penyelesaian dua negara yang tidak boleh diubah.
Dalam wawancara itu, Puteri Reema Bint Bandar Al-Saud menegaskan Riyadh tidak akan menandatangani sebarang perjanjian tanpa komitmen nyata yang menyokong Palestin.
Beliau berkata, penyelesaian dua negara mesti muktamad, jelas dan ditetapkan dalam jangka masa tertentu.
“Menjalin hubungan dengan Israel masih dalam jangkauan, tetapi ia memerlukan komitmen untuk penubuhan negara Palestin yang merdeka,” katanya.











