SANA’A: Pejuang Houthi Yemen mendakwa menyerang kapal Maersk Sentosa di Laut Arab dengan beberapa peluru berpandu, semalam.
Jurucakap tentera kumpulan Yemen, Yahya Sarea berkata, kapal Amerika Maersk Sentosa disasarkan di Laut Arab dalam operasi bersama oleh tentera laut dan pasukan peluru berpandu.
Terdahulu, gergasi perkapalan Maersk memaklumkan salah satu kapalnya, Maersk Sentosa dilaporkan menjadi sasaran objek terbang di utara Teluk Aden.
Maersk (MAERSKb.CO), memberitahu Reuters bahawa tiada kecederaan pada anak kapal atau kerosakan pada kapal atau kargo dilaporkan.
Jurucakap syarikat yang berpangkalan di Copenhagen itu berkata, ia adalah salah satu kapal berbendera Amerika Syarikat (AS) yang belayar untuk anak syarikat Maersk Line, Limited.
Kapten kapal dagang yang tidak disebutkan namanya melaporkan letupan berhampiran kapal itu kira-kira 333 kilometer di timur laut Nishtun, Yemen, kata Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) dalam catatan maklumat pada Selasa.
UKMTO berkata, kapal dan semua anak kapal selamat.
Sarea juga mendakwa, kumpulan itu menyasarkan kapal Marathopolis di Laut Arab dan kapal MSC Patnaree di Teluk Aden dengan beberapa dron.
Pejuang Houthi di Yemen menyasarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas perkapalan di Laut Merah, Selat Bab al-Mandab dan Teluk Aden sejak November.
Tindakan itu menurut mereka adalah sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin susulan perang Israel di Gaza.- REUTERS










