Hezbollah atur strategi hadapi ancaman Israel di Lubnan

Hezbollah atur strategi hadapi ancaman Israel di Lubnan

KEPULAN asap semasa pengeboman Israel di kampung Khiam di selatan Lubnan berhampiran sempadan dengan Israel.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Hezbollah bersedia berdepan senario berbeza dalam konfliknya dengan Israel selepas Tel Aviv mengancam untuk meningkatkan ketegangan dengan Lubnan.

Sebelum ini, pegawai Israel termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengancam untuk mengalihkan tumpuan ketenteraan dari Gaza ke Lubnan.

Netanyahu mendakwa, Israel akan menghentikan operasinya di Rafah dan akan mengarahkan sasaran serangan ke negara sempadan.

Tindakan ketenteraan Israel terhadap Lubnan akan mengheret lebih ramai ‘watak’ dari serantau dan mungkin antarabangsa.

BERI KATA DUA

Pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah mengulangi ucapannya sejak Oktober, bahawa kumpulan itu akan menghentikan serangan rentas sempadan terhadap Israel hanya apabila mereka bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza.

Walaupun Israel mengalihkan sebahagian besar tumpuan ketenteraan ke Lubnan, penganalisis konflik, Amal Saad percaya Hezbollah tetap berpegang dengan pendiriannya.

“Saya tidak fikir Hezbollah akan menerima (rundingan) tanpa adanya gencatan senjata (di Gaza). Perang akan berterusan.

“Nasrallah berkata mereka akan terus berjuang sehingga Hamas menang dan jika Hamas dilemahkan maka Hezbollah tidak akan duduk diam. Ada objektif strategik di sini … Hezbollah tidak akan meninggalkan Hamas sendiri,” katanya.

19 Jun lalu, Nasrallah berkata, kumpulannya mempunyai lebih 100,000 pejuang dan ramai ketua kumpulan bersenjata serantau menawarkan diri untuk menyertai perjuangan menentang Israel, namun tawaran itu ditolak kerana Hezbollah sudah memiliki ramai anggota tentera profesional dan terlatih.

Sehari sebelum ucapannya, Hezbollah mengeluarkan rakaman dron yang diambil dari atas bandar Haifa di Israel, seolah-olah memberi bayangan bandar itu boleh menjadi sasaran.

IRAN BERI AMARAN

Iran pada Sabtu memberi amaran bahawa semua ‘Barisan Penentangan’, kumpulan Iran dan sekutu serantaunya akan menghadapi Israel jika ia menyerang Lubnan.

Kenyataan daripada misi Iran ke New York datang dengan kebimbangan perang serantau yang lebih luas melibatkan Israel dan gerakan Hezbollah yang disokong Iran.

Dalam satu hantaran di platform media sosial, X, misi Iran berkata, pihaknya menganggap ancaman serangan Lubnan hanya perang psikologi propaganda rejim Zionis.

Namun, ia menegaskan, sekiranya pencerobohan berskala penuh itu berlaku, perang besar juga akan terjadi dengan penglibatan penuh semua Barisan Penentangan dan sekutu.

Di samping serangan Hezbollah di utara Israel, kumpulan yang disokong Iran di Yemen berulang kali menyerang kapal komersial di kawasan Laut Merah, dalam tindakan yang disebutnya sebagai solidariti terhadap Palestin.

Serangan Israel sehingga kini menyebabkan hampir 100,000 penduduk di selatan Lubnan kehilangan tempat tinggal dan membunuh sekurang-kurangnya 435 orang, kira-kira 349 daripada mereka didakwa anggota Hezbollah.

Hezbollah dan Israel saling berbalas serangan merentasi sempadan sejak sehari selepas rejim Zionis melancarkan perang di Gaza pada 7 Oktober, tahun lalu.- AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×