Hasrat Haqim bernikah hujung tahun tak kesampaian - Utusan Malaysia

Hasrat Haqim bernikah hujung tahun tak kesampaian

ROHA Robat menunjukkan gambar Haqim Abdul Rahim Lee semasa menunggu operasi mencari menyelamat di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Hasrat seorang pemuda yang lemas semasa mandi-manda di Pantai Batu Layar dekat sini untuk mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati pada hujung tahun ini tidak kesampaian.

Ibunya, Roha Robat, 52, berkata allahyarham Haqim Abdul Rahim Lee, 20, telah menyatakan hasratnya untuk bernikah baru-baru ini, namun persiapan masih belum dilakukan kerana arwah dan pasangannya baru merancang majlis tersebut.

“Dia baru cakap-cakap sahaja, persiapan pun semua masih belum buat lagi. Tidak sangka pula tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.

Kali terakhir dia berhubung dengan anaknya menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan jarinya terluka dan arwah memintanya supaya lebih berhati-hati selepas ini.

“Itu adalah perbualan terakhir kami sebelum dapat panggilan dia lemas ketika mandi laut. Dia tidak pandai berenang sebab itu dia jarang pergi laut dan saya juga sempat pesan agar jangan mandi selepas dia memaklumkan mahu pergi ‘barbeque’ dengan kawannya di Pantai Batu Layar. 

“Sejak semalam saya dan ahli keluarga memang berada di pantai ini dan ketika jenazahnya dijumpai saya tidak boleh lihat kerana terlalu sedih, namun saya reda dengan apa berlaku,” katanya.

Menurutnya, Haqim yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan dan berkelakuan seperti biasa sebelum kejadian.

Jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin.

Sementara itu, teman wanita Haqim, Nor Alia Shafikah Abas, 20, mengakui telah berkawan  dengan arwah sejak enam tahun lalu semasa belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desa Jaya.

“Memang kami ada rancang nikah hujung tahun, bahkan duit untuk pernikahan juga sudah dikumpul sejak April lalu. Haqim ada maklumkan dia akan pergi ke laut, namun perancangan bersama tiga rakan baiknya itu dibuat secara mengejut dan dia sempat WhatsApp saya pada pukul 6.57 pagi, beri gambar pantai dengan kapsyen ‘sunrise tercantik’,” katanya sambil memberitahu itu adalah perbualan terakhir mereka sebelum Haqim hilang ditelan ombak beberapa jam kemudian. 

Mayat Haqim ditemukan pada pukul 7.45 pagi tadi pada jarak 1,000 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Mayat rakannya, Muhammad Syahmi Zamzam, 26, ditemukan 50 meter dari pesisir pantai oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 3.15 petang semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN