GAZA: Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh mencadangkan 3 Ogos ini diisytiharkan sebagai hari solidariti terhadap penduduk Gaza dan tahanan Palestin di penjara Israel.
Susulan itu, beliau menggesa penduduk Arab, Islam dan dunia untuk mengadakan demonstrasi dan perarakan Sabtu ini, menyatakan sokongan terhadap Palestin, lapor agensi berita IRNA.
Haniyeh dalam kenyataan menegaskan, penyertaan aktif masyarakat Arab, Islam dan antarabangsa penting untuk memberi tekanan kepada pendudukan supaya menamatkan pencerobohan serta jenayahnya terhadap penduduk Gaza dan tahanan di penjara Israel.
“Kami berharap 3 Ogos ini akan menjadi hari yang penting dan berkesan di semua bahagian Palestin, kem pelarian dan diaspora serta di dunia Arab, negara Islam serta dalam kalangan semua orang bebas di dunia, untuk menyokong rakyat kami di Gaza dan tahanan,” katanya.
Beliau menjelaskan, penetapan 3 Ogos sebagai hari solidariti Gaza dan tahanan adalah sebagai tindak balas kepada pembunuhan beramai-ramai yang berterusan oleh pendudukan Nazi-Zionis terhadap penduduk Palestin untuk 10 bulan berturut-turut.
“Gesaan ini susulan kesunyian antarabangsa dan ketidakupayaan untuk menghentikan perang agresif terhadap rakyat dan tahanan kita, sikap berat sebelah dan sokongan penuh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dalam pencerobohan ini.
“(Ini termasuk) kegagalan hak asasi manusia dan institusi kemanusiaan untuk mengambil tindakan serta tanggungjawab dalam memberikan sokongan kepada rakyat kami di Gaza dan tahanan di penjara musuh,” katanya.










