MANILA: Gempa bumi berukuran 6.7 skala Richter menggegarkan wilayah Sultan Kudarat di selatan Filipina hari ini, lapor Xinhua.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina berkata, gempa bumi itu berlaku pada pukul 10.13 pagi (waktu tempatan) dengan kedalaman 651 kilometer, kira-kira 91 kilometer barat daya Kalamansig, sebuah bandar pantai.
Gegaran turut dirasai di Bandar Tagum, wilayah Davao del Norte.
Menurut institut itu, gempa tektonik akan mencetuskan gegaran susulan tetapi tidak akan mengakibatkan kerosakan yang besar.
Sementara itu, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia turut melaporkan gempa bumi berukuran 5.8 skala Richter melanda wilayah barat Bengkulu pada malam Rabu, tetapi tidak menghasilkan gelombang siginifikan.
Gempa itu berlaku pada pukul 10.32 malam (waktu tempatan) dengan gempa berpusat 145 kilometer barat laut Pulau Enggano, pada kedalaman 10 kilometer di bawah dasar laut.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan kerana gegaran itu tidak dijangka menyebabkan ombak besar.
Indonesia dan Filipina terdedah gempa bumi kerana lokasinya di Lingkaran Api Pasifik yang aktif secara seismik.










