KANGAR: Kegagalan menguruskan isu dan komunikasi tidak mantap berhubung pelaksanaan sesuatu dasar oleh kerajaan antara faktor penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, dua aspek tersebut perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan selepas ini kerana isu-isu tidak popular sememangnya mengundang penolakan rakyat.
Menurut beliau, setiap pelaksanaan tidak popular yang ingin dilakukan kerajaan selepas ini seharusnya mengambil kira aspek masa yang sesuai.
“Kadang-kadang perkara yang kerajaan buat benda betul, tapi tidak popular dan menyebabkan penolakan rakyat. Contohnya langkah dilakukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di mana antara perkara menyebabkan kejatuhan kerajaan pada ketika itu adalah disebabkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Keputusan itu tidak popular namun kerajaan pada ketika itu melihat kepada keperluan ekonomi negara dan memerlukan sistem cukai yang lebih telus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
PRK Sungai Bakap menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dengan majoriti sebanyak 4,267 undi.
Fathul berkata, beliau yakin walaupun usaha Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri,
Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak popular namun mempunyai kebaikan buat rakyat.
“Cuma adalah pengurusan isu dan komunikasi itu di mana saya lihat ada jawapan-jawapan tidak begitu mantap sehinggakan perlu mengambil masa panjang untuk memberi penjelasan,” katanya.
Kata beliau, sekiranya berlaku PRK pada masa hadapan, kerajaan boleh menjadikan kekalahan PH di DUN Sungai Bakap sebagai kayu ukur dengan mengambil kira aspek berkenaan.
“Perkara-perkara berkaitan sensitiviti, keputusan tidak popular atau sebagainya perlu mendapat pertimbangan masa yang sesuai bagi sebarang pelaksanaan.
“Ini bukan kerana mahu tipu rakyat atau sebagainya, namun lebih kepada keperluan strategi lebih mantap dan tersusun,” kata beliau. – UTUSAN











