AMMAN: Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell mengulangi penolakan blok itu melabel Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) sebagai organisasi pengganas.
Beliau menegaskan, EU bersama penyumbang antarabangsa lain akan terus menyokong dan membiayai UNRWA.
“Kami menolak sebarang percubaan untuk melabel UNRWA sebagai organisasi pengganas. Bagaimana agensi PBB boleh dianggap sebagai organisasi pengganas?
“Kami bersetuju pentingnya untuk mengekalkan peranan UNRWA yang tidak boleh digantikan di seluruh rantau ini, pastinya termasuk di Jordan,” katanya.
Borrell berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi di luar mesyuarat ke-15 Majlis Persatuan EU-Jordan di Brussels, semalam.
Setakat ini, tiada respons segera daripada Israel mengenai kenyataan Borrell.
Mei lalu, Parlimen Israel, Knesset meluluskan usul awal untuk rang undang-undang (RUU) yang menamakan UNRWA sebagai organisasi pengganas.
RUU itu juga memberi mandat undang-undang anti keganasan Israel digunakan untuk agensi PBB dan menghentikan semua komunikasi serta hubungan antara Tel Aviv dengan agensi itu.
Israel sebelum ini, terus melobi untuk menutup UNRWA kerana ia adalah satu-satunya agensi PBB yang mempunyai mandat khusus untuk menjaga keperluan asas pelarian Palestin.
UNRWA ditubuhkan melalui resolusi PBB pada 1949 dan diberi mandat untuk memberikan bantuan dan perlindungan kepada pelarian dalam lima kawasan operasinya, Jordan, Syria, Lubnan, Tebing Barat serta Semenanjung Gaza.- ANADOLU










