Enam bekas pelajar UPNM ke tali gantung

Enam bekas pelajar UPNM ke tali gantung

ZULKARNAIN Idros (bapa Zulfarhan Osman) dan isterinya Hawa sujud syukur sejurus selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya mengumumkan keputusan rayuan berkaitan kes kematian anaknya. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Ra­yuan menjatuhkan hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kera­na membunuh rakan sepengajian mereka iaitu Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi dan Muhammad Najib Mohd. Razi.

Tiga lagi ialah Muhammad Afif Najmudin Azahat, Moha­mad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.
Kesemua bekas pelajar itu kini berusia 28 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian sele­pas menghidupkan semula Sek­syen 302 Kanun Keseksaan yang sebelum ini dipinda oleh Mahkamah Tinggi kepada Seksyen 304(a) iaitu kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan.

Beliau yang bersidang bersa­ma-sama Mohamed Zaini Maz­lan dan Datuk Azmi Ariffin sebu­lat suara membenarkan rayuan si­lang pendakwa raya agar huku­man penjara 18 tahun yang diputuskan terhadap mereka, digantikan dengan hukuman mati.

Mahkamah Rayuan berpen­dirian, keenam-enam bekas penuntut terbabit berniat jahat, zalim dan tidak berperikemanusian kerana sanggup membunuh Zulfarhan dengan cara dipukul dan didera menggunakan seterika wap panas.

Semasa memberi keputusan, Hakim Hadhariah berkata, mereka bukan sahaja tidak peduli, malah ‘menutup mata dan te­linga’ melihat Zulfarhan menjerit dan menggelupur kesakitan setelah tubuh serta kemaluan­nya ditekap dengan seterika wap.

Menurut beliau, selepas di­seksa, mereka kemudian me­nyem­bunyikan Zulfarhan dan cuba merawat sendiri kecede­raan dialami mangsa bagi mengelakkan perbuatan jenayah itu dikesan.

Oleh demikian, Hakim Hadhariah berpendapat hanya satu hukuman yang wajar dijatuhkan terhadap mereka iaitu gantung sampai mati manakala hukuman penjara 18 tahun diketepikan.

“Kami bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh dilakukan bukan sahaja mengejutkan minda kehakiman malah kepada masyarakat secara keseluruhan.

“Kes sebegini paling jarang ditemui daripada kes-kes yang pernah berlaku (rarest of the rare) yang melibatkan jenayah kekejaman yang amat berbahaya kepada masyarakat. Perbuatan zalim sebegini harus dihentikan.

“Ibu bapa mana yang tidak merasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila jenazah dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan dalam keadaan memilukan,” kata beliau.

Hakim Hadhariah membacakan alasan penghakiman setebal 93 muka surat dalam rayuan keenam-enam bekas penuntut UPNM itu terhadap sabitan dan hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding sama, ­panel itu menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap 12 bekas penuntut lain kerana mencederakan Zulfarhan. Hukuman itu dinaikkan dari tiga tahun yang diputuskan sebelum ini.

Mereka ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd. Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka dipe­rintah menjalani hukuman penjara serta-merta selepas tiada pe­nangguhan pelaksanaan hukuman penjara dikemukakan di mahkamah, semalam.

Mengikut pertuduhan, perbuatan mencederakan Zulfarhan dilakukan dalam sebuah bilik blok penginapan Asrama Jebat UPNM di Kem Perdana, Su­ngai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017 manakala mangsa di­sahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Sementara itu, ibu bapa kepada Zulfarhan dilihat melakukan sujud syukur dan menangis selepas keluar dari mahkamah.

Zulkarnain Idros, 60, berkata, dengan keputusan tersebut akhir­nya keadilan berpihak kepada anaknya, Zulfarhan.

“Kami bersyukur kerana Allah telah makbulkan doa saya dan isteri supaya kes ini dikembalikan kepada hukuman gantung sampai mati.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini serta pihak pendakwaan yang membuktikan bahawa adanya niat membunuh,” kata Zulkarnain yang ditemani isterinya, Hawa Osman, 61.
Hawa menunjukkan gambar Zulfarhan dan sapu tangan terakhir peninggalan anaknya itu kepada media. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×