Emraz Travel, dua pengarah didakwa lagi

Emraz Travel, dua pengarah didakwa lagi

EMRAZ Travel and Tours Sdn. Bhd. bersama dua pengarahnya didakwa gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah syarikat pe­ngendali pakej umrah bersama dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas 27 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) supaya membayar balik tuntutan wang berjumlah RM229,860 kepada sembilan mangsa.

Orang Kena Saman (OKS), Emraz Travel and Tours Sdn. Bhd. dan Datuk Zulkarnain Endut serta Datin Mazuin Mustafa masing-masing berusia 43 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan sembilan kertas pertuduhan bagi setiap OKS, mereka didakwa gagal mematuhi award TTPM yang meme­rintahkan pembayaran balik berjumlah RM229,860 kepada sembilan pihak yang menuntut.

Kesalahan dilakukan di pe­jabat TTPM Cawangan Melaka, Aras 6, Wisma Persekutuan, Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah antara 25 September 2023 dan 19 April 2024.

Sabit kesalahan, kesemua OKS boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau ke­duanya sekali mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Da­lam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani mencadangkan jaminan RM2,000 seorang bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan melapor diri di pejabat KPDN Putrajaya sekali sebulan.

Peguam Datuk Hanif Hassan mewakili kesemua OKS merayu jaminan rendah dengan alasan syarikat tidak lagi beroperasi dan anak guamnya tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Beliau juga memohon hanya Zulkarnain dan Mazuin diberikan jaminan sementara penge­cualian diberikan kepada syarikat.

Mahkamah membenarkan kedua-kedua pengarah syarikat yang juga suami isteri dijamin RM2,700 setiap seorang bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 13 September depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, kesemua OKS turut didakwa di empat mahkamah majistret berlainan iaitu di Seremban, Negeri Sembilan; Johor Bahru, Johor; Kota Bharu, Kelantan dan Putrajaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×