BENTONG: Polis belum menemukan sebarang petunjuk berhubung kehilangan seorang pelajar perempuan tingkatan lima di Felda Lurah Bilut di sini sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, usaha mengesan pelajar itu, Nur Aina Faqihah Shahrizan, 17, giat dilakukan selepas dia dilaporkan hilang pada 15 Julai lalu.
“Polis masih lagi menjalankan siasatan dan sehingga sekarang kita masih belum dapat ‘clue’ lagi ke mana dia menghilangkan diri.
“Saya minta kerjasama sesiapa yang mengenalinya sama ada rakan-rakannya untuk menghubungi pihak polis atau keluarga,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.
Baru-baru media melaporkan kes orang hilang semakin menjadi-jadi apabila tiga lagi kejadian terbaharu dilaporkan membabitkan tiga remaja perempuan di Petaling Jaya, Selangor, Sungai Petani di Kedah dan Bentong.
Dalam kejadian di Bentong, bapa pelajar berkenaan, Shahrizan Mohd. Daud, 44, dilaporkan berkata, dia menyedari kehilangan Nur Aina Faqihah selepas balik daripada kerja, Isnin lalu.
Yahaya berkata, siasatan mendapati pelajar perempuan berkenaan dilaporkan pernah menghilangkan diri beberapa kali sebelum ini dan kembali semua ke rumahnya selepas itu.
“Diharap Nur Aina Faqihah dapat menghubungi keluarganya disebabkan sebelum ini adik Nur Aina pernah juga hilang beberapa kali dilaporkan tetapi balik tetapi kali ini agak lama,” ujarnya. – UTUSAN










